Kuala Lumpur: Bola sepak Asia Tenggara melangkah ke era baharu apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melancarkan Piala ASEAN FIFA (FIFA ASEAN Cup), kejohanan terbesar yang bakal menghimpunkan semua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas berprestij di bawah naungan rasmi FIFA.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata penganjuran kejohanan ini bukan sekadar inisiatif sukan, tetapi juga satu langkah ke arah penyatuan serantau serta memperkukuh hubungan antara negara anggota ASEAN.
“Piala FIFA ASEAN diwujudkan untuk rantau ini, melibatkan kesemua 11 negara anggota. Ia akan memberikan kesan besar bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi juga di seluruh dunia,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu antara FIFA dan ASEAN yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.
Gianni menegaskan bahawa MoU tersebut melambangkan kerjasama istimewa antara FIFA dan ASEAN. Katanya, angka 11 yang menjadi asas kepada bola sepak kini turut menjadi simbol kepada perpaduan rantau ini.
“Dalam bola sepak, satu pasukan terdiri daripada 11 pemain. Kini ASEAN juga lengkap sebagai satu pasukan yang bersedia untuk mencapai kemenangan bersama,” jelasnya.
Beliau menambah, ASEAN kini merupakan antara rantau paling pesat berkembang dalam dunia bola sepak dengan lebih 700 juta peminat aktif, menjadikannya pasaran besar untuk pembangunan dan pelaburan masa depan sukan ini.
“Kami di FIFA mahu membangunkan lebih banyak projek bersama ASEAN dan memperkukuh komuniti bola sepak serantau agar manfaatnya dapat dirasai semua,” katanya.
Menurut Gianni, kerjasama itu dibina atas tiga teras utama: integriti permainan, keselamatan dalam ekosistem bola sepak, dan pendidikan melalui sukan.
“Kami mahu bola sepak menjadi platform pendidikan yang selamat dan menyeronokkan, bukan sekadar permainan. Ia mampu membentuk generasi muda yang berdisiplin dan bersatu tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Menjawab isu berkaitan dakwaan dwi standard FIFA dalam penyertaan Israel dan penggantungan Rusia, Gianni menegaskan bahawa bola sepak perlu bebas daripada pengaruh politik.
“Bola sepak ialah simbol perpaduan sejagat. Saya baru-baru ini menghadiri sidang kemuncak keamanan di Sharm el-Sheikh bersama Presiden Trump dan beberapa negara lain bagi menyokong perjanjian damai penting. Kita semua mahukan keamanan, dan hari ini kita juga menyaksikan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan komitmen ASEAN untuk terus memajukan bola sepak sebagai sukan rakyat dan wadah membina generasi muda.
“Bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi alat penting dalam membentuk kepimpinan masa depan serta memperkukuh semangat perpaduan dan identiti serantau,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin ASEAN komited memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif pembangunan bola sepak, termasuk menyediakan peluang latihan dan pendedahan kepada pemain muda di seluruh rantau ini.