Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, memberikan pandangan tegas terhadap prestasi semasa pasangan beregu profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani. Menurutnya, pasangan nombor empat dunia itu perlu melakukan penilaian jujur terhadap tahap latihan dan disiplin diri jika ingin kembali bersaing di peringkat tertinggi dunia.
Selepas mengharungi siri jelajah Eropah, prestasi mereka dilihat tidak konsisten apabila tersingkir awal di Terbuka Denmark, berjaya mara ke suku akhir Terbuka Perancis, namun tumbang di pusingan kedua Terbuka Hylo di Jerman. Kekalahan di Jerman turut menjejaskan peluang mereka untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 Disember ini.
Setakat ini, pasangan tersebut hanya mempunyai satu kejuaraan dalam koleksi musim ini hasil kemenangan di Terbuka India pada Januari lalu dan pencapaian sebagai naib juara di Terbuka Jepun pada Julai.
Razif berkata, kemampuan taktikal mereka sebenarnya berada pada tahap baik, tetapi kelemahan dari aspek fizikal dan kurangnya rakan sepelatih yang mencabar menjadi punca utama ketidakkonsistenan prestasi mereka.
“Saya tengok dari segi taktikal, mereka memang bagus. Tapi penyudah masih lemah, dan itu datang daripada fizikal. Mungkin mereka perlukan rakan sepelatih yang lebih kuat. Kalau latihan tidak cukup mencabar, memang sukar nak kekalkan ketajaman dalam perlawanan sebenar,” katanya.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 itu turut menasihati Sze Fei dan Izzuddin agar menilai semula rutin harian serta disiplin diri kerana mereka kini berada pada fasa penting dalam karier profesional.
“Sebagai pemain profesional, mereka kena jujur dengan diri sendiri. Cukup ke latihan yang dibuat? Kuat ke fizikal? Mereka bukan pemain muda lagi. Kalau leka sekejap saja, memang susah nak kejar balik prestasi,” jelasnya.
Razif turut menekankan bahawa disiplin dan kesungguhan dalam latihan merupakan asas utama untuk mengekalkan momentum serta prestasi tinggi di pentas antarabangsa.
“Mereka ada kualiti, tapi disiplin kena dijaga. Kalau ambil ringan, memang sukar nak kekal dalam kelompok terbaik dunia,” tambahnya lagi.
Musim lalu, pasangan ini menampilkan prestasi luar biasa apabila menjuarai tiga kejohanan utama — Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik di Finland — serta menjadi naib juara Jelajah Dunia Akhir. Namun musim ini, prestasi mereka menurun dan kerap kali tidak menunjukkan konsistensi yang sama.
Walau begitu, Razif optimis dengan masa depan mereka dan percaya jika struktur latihan serta rakan sepelatih diperbaiki, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mampu bangkit semula.
“Mereka ada bakat dan semangat juang tinggi. Kalau dapat latihan yang mantap dan rakan sepelatih yang berkualiti, saya yakin mereka boleh kembali ke prestasi terbaik,” ujar Razif menutup ulasan.