Pasangan beregu lelaki negara, Tee Kai Wun dan Man Wei Chong, terpaksa akur apabila langkah mereka terhenti di separuh akhir Terbuka Hylo 2025 selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Dalam aksi di Arena Tertutup Saarlandhalle, Saarbrucken, Jerman, pasangan negara itu tewas dua set straight, 16-21 dan 15-21 dalam tempoh hanya 34 minit. Tee Kai Wun, yang baru pulih daripada kecederaan koyak otot betis, mengakui dirinya tidak berada pada tahap 100 peratus sepanjang perlawanan tersebut.
“Maaf semua, saya sudah berusaha sedaya upaya. Sebelum datang ke kejohanan ini pun saya tidak tahu sama ada mampu bertahan sehingga ke tahap ini. Saya gembira dengan prestasi yang telah saya tunjukkan dan berterima kasih atas sokongan berterusan semua,” katanya menerusi Instagram Story disertakan gambar sedang menerima rawatan.
Pemain berusia 25 tahun itu menjelaskan bahawa kecederaan di kaki telah membataskan pergerakan dan membuatkannya kerap melakukan kesilapan mudah. Walaupun berusaha keras menyaingi rentak pantas pihak lawan, keupayaan fizikalnya tidak membenarkan beliau bermain di tahap terbaik.
Kekalahan itu turut menyaksikan mereka kini ketinggalan dalam rekod pertemuan dengan gandingan Indonesia tersebut, dengan tiga kekalahan berturut-turut daripada empat perlawanan yang pernah berlangsung. Sabar dan Moh Reza nyata memanfaatkan setiap peluang yang diberikan untuk menguasai gelanggang sejak awal permainan.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami Kai Wun menjadi punca utama kekalahan tersebut. Beliau menyatakan keadaan fizikal pemainnya tidak berada dalam kondisi terbaik untuk menghadapi perlawanan penting seperti itu.
“Banyak kesilapan dilakukan dan kondisi mereka tidak bagus. Mereka tidak bermain pada tahap maksimum,” katanya.
Walaupun kecewa dengan kekalahan itu, Herry menegaskan bahawa Kai Wun dan Wei Chong akan meneruskan misi mereka di kejohanan seterusnya iaitu Masters Kumamoto di Jepun pada 11 hingga 16 November.
Katanya, kejohanan itu penting bagi mengumpul mata kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Hangzhou, China, dari 17 hingga 21 Disember depan. “(Mereka tetap) pergi ke Kumamoto untuk mengumpul mata kelayakan Jelajah Dunia Akhir BWF,” ujarnya.
Kekalahan di Jerman mungkin menjadi satu tamparan buat pasangan muda negara itu, namun ia juga dijangka menjadi pengajaran berguna untuk mereka memperbaiki kelemahan dan kembali lebih kuat menjelang kejohanan akan datang.