SUKAN

Lebih mengejutkan, Kai Wun tetap teruskan

Impian beregu lelaki utama negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun untuk melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hylo di Jerman musnah selepas tewas pada aksi separuh akhir di Saarlandhalle, Saarbrucken.

Beregu ranking kelima dunia itu terpaksa akur apabila tunduk 16-21, 15-21 kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam perlawanan sengit yang berlangsung lebih 40 minit.

Kekalahan ini menamatkan peluang mereka untuk mara ke final kejohanan BWF Super 500 tersebut, namun semangat juang yang ditunjukkan kedua-duanya tetap dipuji. Lebih mengharukan, Tee Kai Wun bermain dalam keadaan menahan kesakitan akibat kecederaan lama yang baru pulih. Difahamkan, beliau mengalami koyakan otot betis sebelum menyertai kejohanan ini.

Selepas tamat aksi, Kai Wun memuat naik hantaran di Instagram Story dengan memohon maaf kepada penyokong dan berkongsi gambar dirinya sedang menerima rawatan.

“Maaf semua, saya sudah berusaha sedaya upaya. Sebelum datang ke pertandingan (Terbuka Hylo) pun saya tidak tahu sama ada boleh bertahan sampai sekarang tetapi saya gembira dengan aksi yang ditunjukkan. Terima kasih kepada semua atas dorongan serta sokongan berterusan yang diberikan kepada saya,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Kecederaan yang dialaminya turut menyebabkan mereka terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan terdahulu seperti Terbuka Arctic di Finland dan Terbuka Denmark.

Menurut ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, keadaan fizikal Kai Wun yang belum pulih sepenuhnya memberi kesan terhadap persembahan mereka kali ini. Walaupun begitu, beliau menjangkakan pasangan tersebut akan tetap beraksi di Kumamoto Masters minggu depan untuk mengutip mata penting ke Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember.

“Permainan mereka tidak maksimum dan banyak melakukan kesilapan kerana kondisi Tee (Kai Wun) tidak 100 peratus. Mungkin akan ke Kumamoto bagi mengutip mata kelayakan Jelajah Dunia Akhir,” ujarnya.

Meskipun gagal mara ke pentas akhir, penampilan beregu muda negara ini tetap dianggap positif memandangkan mereka berdepan kekangan dari segi kecergasan. Aksi gigih mereka memperlihatkan keazaman tinggi untuk terus memberi cabaran di peringkat antarabangsa.

Dengan semangat juang yang ditonjolkan, peminat badminton negara pastinya berharap Wei Chong dan Kai Wun dapat kembali pulih sepenuhnya dan memperbaiki prestasi pada kejohanan seterusnya. Fokus kini tertumpu kepada proses pemulihan Kai Wun bagi memastikan gandingan ini tampil lebih mantap pada siri jelajah mendatang.