SUKAN

TERKINI: Hukuman ‘bermotifkan politik’ — TMJ

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengkritik keras keputusan FIFA yang mengekalkan hukuman penggantungan selama setahun terhadap tujuh pemain warisan negara, menyifatkannya sebagai keputusan yang sarat dengan “motif politik” dan tidak berasaskan undang-undang sebenar.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram rasmi Baginda, Tunku Ismail menjelaskan bahawa FIFA beralasan hukuman itu dibuat di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen. Namun menurut Baginda, peraturan tersebut tidak sepatutnya dikenakan ke atas para pemain kerana tiada bukti bahawa mereka memalsukan sebarang dokumen rasmi.

“FIFA meneruskan hukuman kepada pemain-pemain ini dengan alasan menyalahi Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen, sedangkan tiada satu pun terpakai kepada pemain ini,” tegas Baginda.

Tambah Baginda lagi, tindakan FIFA tidak sejajar dengan peruntukan sebenar undang-undang yang telah digubal oleh badan induk bola sepak dunia itu sendiri. “Hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain,” jelas Tunku Ismail.

Baginda turut menyifatkan langkah FIFA itu seolah-olah mencerminkan keputusan yang sudah dipengaruhi oleh faktor luar dan bukannya berlandaskan semangat keadilan yang tulen. “Hukuman ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan seperti lebih bersifat ‘bermotifkan politik’ daripada sebab yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail menegaskan pendiriannya untuk terus bersama dan mempertahankan pemain-pemain tersebut hingga ke peringkat tertinggi. “Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya pilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain,” titah Baginda, sambil mengesahkan bahawa kes ini akan dibawa ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) bagi mencari keadilan sebenar.

Kenyataan Baginda dikeluarkan susulan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA malam tadi yang menolak rayuan FAM serta mengekalkan hukuman penggantungan terhadap ketujuh-tujuh pemain dan badan induk bola sepak Malaysia itu.

Mengikut keputusan rasmi, FAM turut diarahkan membayar denda berjumlah CHF350,000 atau bersamaan hampir RM1.9 juta. Sementara itu, setiap pemain turut dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,800). Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Tindakan FIFA ini mencetuskan pelbagai reaksi daripada kalangan peminat dan penggiat bola sepak tanah air yang menganggap keputusan itu tidak wajar, apatah lagi selepas segala dokumen pemain-pemain tersebut disahkan sah oleh pihak berkuasa dan FAM sendiri sebelum ini.

Walaupun situasi ini memberi tekanan besar kepada FAM serta para pemain terbabit, langkah membawa kes ke CAS dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan keadilan ditegakkan di peringkat global. Tunku Ismail turut mengingatkan agar rakyat Malaysia tidak cepat menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya memberi sokongan penuh kepada perjuangan mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

Pendekatan berani Baginda yang konsisten memperjuangkan hak pemain ini sekali lagi membuktikan keprihatinan dan keberanian Tunku Ismail dalam mempertahankan maruah bola sepak Malaysia di mata dunia. Isu ini turut memperlihatkan keperluan kepada ketelusan dalam proses membuat keputusan badan induk sukan antarabangsa agar tidak menjejaskan integriti sukan itu sendiri.