SUKAN

TERKINI : Keputusan aksi JDT berdepan Shanghai Shenhua di ACLE

Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema dengan sorakan apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentetan cemerlang mereka di pentas Asia dengan menumpaskan Shanghai Shenhua FC 3-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit malam tadi. Kejayaan ini menjadi bukti nyata bahawa skuad Harimau Selatan masih berada dalam kelas tersendiri dan terus mengekalkan reputasi mereka sebagai kuasa besar bola sepak rantau ini.

Perlawanan penuh dramatik itu turut mengingatkan penyokong terhadap kenangan manis musim lalu, apabila JDT menewaskan kelab sama dengan jaringan 3-0 di stadium keramat mereka. Kali ini, kemenangan berganda itu bukan sahaja menggembirakan ribuan penyokong setia, malah melonjakkan JDT ke tangga kedua Zon Timur dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri, menempatkan mereka dalam kelompok lapan terbaik Asia Timur.

Sejak wisel permulaan, JDT tampil agresif dan mengasak kubu lawan tanpa henti. Hanya empat minit permainan berlalu, percubaan deras Oscar Arribas hampir membuka tirai jaringan apabila rembatannya dari sayap kanan singgah di tiang kanan gawang Shanghai Shenhua, sedangkan penjaga gol Bao Yaxiong sudah pun tertewas.

Namun, suasana gembira bertukar cemas apabila pemain tengah berpengaruh, Ager Aketxe, mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-19. Afiq Fazail dimasukkan bagi mengimbangi semula permainan di tengah padang.

Walaupun kehilangan tonggak utama, JDT kekal mendominasi permainan. Pada minit ke-30, gerakan menarik antara Afiq dan Jairo hampir membuahkan hasil namun rembatan leret Jairo ditepis keluar oleh penjaga gol lawan. Selang lapan minit kemudian, Yaxiong sekali lagi bertindak cemerlang menafikan rembatan kencang Nacho Mendez, sebelum bola muntah disambar Arribas yang hanya menggegar palang gol.

Shanghai Shenhua nyaris mencuri gol pendahuluan sebelum tamat separuh masa pertama melalui tandukan Luis Asue hasil sepakan sudut Gao Tianyi, namun bola tersasar sedikit ke kiri gawang Andoni Zubiaurre. Kedudukan kekal tanpa jaringan menuju bilik persalinan.

Babak kedua bermula dengan nada berbeza. Stadium Sultan Ibrahim bergema apabila Arif Aiman Hanapi, pemain muda yang semakin menyerlah, menunjukkan kelincahannya menembusi benteng pertahanan lawan sebelum melorongkan bola kepada Jonathan Silva yang tidak menunggu lama untuk menyudahkan peluang bagi membuka jaringan pada minit ke-47.

Kegembiraan itu hampir dicemari apabila Shanghai Shenhua menyamakan kedudukan lima minit kemudian, tetapi jaringan Andre Luis dibatalkan selepas semakan pengadil Jordan, Adham Makhadmed, mengesahkan berlaku kekasaran terhadap penjaga gol JDT, Zubiaurre.

Pada minit ke-63, Oscar Arribas akhirnya menebus dua peluang keemasan yang disia-siakan pada babak pertama dengan rembatan leret menewaskan Yaxiong selepas menerima hantaran Afiq Fazail. JDT kini di depan 2-0 dan semakin yakin menguasai rentak permainan.

Namun, VAR kembali mencuri tumpuan apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada Shanghai Shenhua selepas insiden bentesan Natxo Insa terhadap Li Ke. Saulo Mineiro yang baru dimasukkan tidak mensia-siakan peluang itu untuk merapatkan jurang menjadi 2-1.

Ketika Shanghai Shenhua cuba menekan, JDT sekali lagi menunjukkan kualiti sebenar mereka. Minat ke-87 menjadi detik penentu apabila Arif Aiman melakar satu lagi gerakan gemilang dengan umpanan cermat ke arah Jonathan Silva yang pantas meledak gol ketiga. Sorakan “Luaskan Kuasamu Johor!” kembali bergema, meraikan kemenangan bermaruah 3-1.

Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan JDT dalam saingan Asia, tetapi juga menegaskan keampuhan taktikal Xisco Munoz serta semangat juang pemain yang tidak pernah luntur di hadapan penyokong mereka sendiri.