SUKAN

Holgado kena ‘hukum’ lagi

Pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, berdepan nasib malang selepas kelabnya di Colombia, America de Cali, dilapor sedang dalam proses menamatkan kontraknya. Tindakan itu dikatakan berpunca daripada keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman tatatertib yang dikenakan sebelum ini.

Perkara tersebut didedahkan oleh wartawan sukan terkenal dari Colombia, Pipe Sierra, menerusi perkongsiannya di laman X hari ini. Menurut beliau, langkah diambil oleh kelab itu adalah susulan perkembangan terbaru yang diumumkan oleh FIFA kelmarin.

“America (de Cali) melalui peguamnya kini sedang dalam proses menamatkan kontrak Rodrigo Holgado, susulan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA. Pada masa sama, FAM sedang mempersiapkan kes tersebut untuk dibawa ke peringkat seterusnya, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” tulisnya.

Keputusan Rayuan FIFA itu sekaligus mengekalkan semua hukuman yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu. Ini termasuk denda kewangan besar terhadap FAM dan penggantungan pemain-pemain yang terlibat dalam kes berkenaan.

FAM kini diberikan tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis rasmi daripada FIFA. Setelah menerima keputusan itu, badan induk bola sepak negara mempunyai masa 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.

Antara hukuman yang kekal adalah denda sebanyak CHF 350,000 (sekitar RM1.8 juta) terhadap FAM. Selain itu, tujuh pemain termasuk Holgado turut digantung daripada aktiviti bola sepak selama 12 bulan dan didenda CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang. Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Hukuman berat ini memberi tamparan besar kepada karier pemain-pemain terbabit dan juga reputasi bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa. Situasi ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan pemain warisan yang lain dalam skuad kebangsaan.

Bagi Rodrigo Holgado, langkah yang diambil oleh America de Cali dianggap satu lagi pukulan besar selepas hukuman penggantungan dikenakan. Difahamkan, pihak kelab mahu mengelakkan sebarang implikasi reputasi dengan terus menamatkan kontrak penyerang tersebut.

Dalam masa yang sama, FAM masih meneruskan usaha untuk mempertahankan pendirian mereka di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan. Rayuan ke CAS menjadi langkah terakhir bagi menentukan sama ada hukuman itu dapat dikurangkan atau dibatalkan sepenuhnya. Sekiranya CAS menerima permohonan rayuan itu, sesi pendengaran akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.

FAM dijangka meneliti semula segala dokumen berkaitan pendaftaran dan kelayakan pemain bagi mengukuhkan hujah mereka di peringkat antarabangsa. Kes ini dilihat sebagai ujian terbesar buat bola sepak Malaysia tahun ini kerana bukan sahaja melibatkan imej negara tetapi juga masa depan beberapa pemain warisan yang sebelum ini dilihat sebagai aset penting skuad kebangsaan.