SUKAN

TERKINI: Ada sinar baharu buat Rodrigo Holgado

Nama penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kembali menghiasi laporan media selepas timbul spekulasi bahawa bekas kelabnya di Chile, Coquimbo Unido, sedang menimbang untuk membawa pulang pemain itu bagi menghadapi musim akan datang.

Sumber terdekat pasukan berkenaan memaklumkan minat tersebut masih belum rasmi kerana bergantung kepada perkembangan berkaitan penggantungan pemain itu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Holgado, yang berasal dari Argentina, pernah mencatatkan prestasi cemerlang ketika beraksi bersama Coquimbo Unido pada tahun 2023 dengan menjaringkan 19 gol sepanjang musim. Catatan itu meletakkannya antara penjaring paling prolifik dalam saingan liga Chile, sekali gus meningkatkan reputasinya sebagai penyerang berbahaya.

Namun, segala khabar yang mengaitkan kepulangannya masih belum disahkan. Coquimbo Unido dilaporkan sedang memantau situasi terkini mengenai hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan terhadapnya susulan kes pemalsuan dokumen.

Selain Holgado, enam lagi pemain warisan Malaysia turut menerima nasib sama apabila dijatuhkan hukuman penggantungan oleh FIFA serta denda hampir RM10,000 seorang.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun tidak berdiam diri dan telah mengemukakan rayuan rasmi bagi membatalkan keputusan itu. Namun, usaha tersebut tidak berhasil apabila rayuan berkenaan ditolak oleh FIFA. Kini, FAM sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan semua pemain terlibat dapat kembali beraksi dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berasingan, media Colombia melaporkan bahawa kelab Holgado ketika ini, America de Cali, telah memulakan langkah untuk menamatkan kontrak pemain tersebut berikutan keputusan rasmi Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Menurut laporan wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra, keputusan penamatan kontrak itu dilakukan atas faktor disiplin dan status penggantungan yang masih berkuat kuasa. Situasi tersebut sekali gus membuka peluang kepada Coquimbo Unido untuk mendapatkan semula khidmat pemain berusia 29 tahun itu.

Sekiranya perpindahan semula ke Coquimbo Unido menjadi kenyataan, Holgado dilihat mempunyai peluang kedua untuk menghidupkan kariernya selepas melalui tempoh sukar di Colombia. Namun, sebarang langkah bergantung kepada keputusan dan perbincangan lanjut antara pihak kelab, pemain serta FIFA.

Holgado kini dilihat sebagai antara pemain warisan yang paling terkesan dengan isu penggantungan tersebut, memandangkan reputasinya sebagai penyerang utama turut terjejas. Walau bagaimanapun, kemampuan beliau di atas padang masih diakui ramai dan tidak mustahil Coquimbo Unido akan memberi ruang kedua buatnya.

Ketika FAM masih menunggu peluang untuk merayu semula keputusan di peringkat lebih tinggi, masa depan Holgado terus menjadi tanda tanya besar dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan antarabangsa.