SUKAN

7 pemain digantung FIFA pertimbang menyaman FAM

Kisah tujuh pemain bola sepak negara yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini dilihat memasuki babak baharu apabila mereka dilapor sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Difahamkan, tindakan itu berpunca daripada pengakuan FAM sendiri mengenai kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen kepada FIFA, yang akhirnya menyebabkan penggantungan selama 12 bulan terhadap pemain terbabit.

Sumber rapat menjelaskan bahawa ketujuh-tujuh pemain kini sedang mendapatkan nasihat guaman daripada peguam luar negara. Langkah itu diambil bagi menilai sejauh mana mereka boleh menuntut ganti rugi terhadap FAM atas kecuaian pentadbiran yang menjejaskan kerjaya dan kehidupan mereka.

“Peguam luar negara kini sedang menasihati pemain tersebut. Mereka mempunyai asas kukuh untuk memfailkan saman kerana FAM sendiri sudah mengesahkan kesilapan teknikal berlaku,” kata sumber berkenaan.

Beliau turut menambah, beberapa pemain mengalami kesan serius apabila kelab mereka mengambil tindakan menamatkan kontrak serta-merta selepas keputusan penggantungan diumumkan FIFA. “Kehilangan sumber pendapatan menyebabkan mereka terdesak untuk mendapatkan keadilan. Lebih penting, mereka mahu membersihkan nama agar tidak terus dipandang serong oleh komuniti bola sepak antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, pada 28 September lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengakui berlaku kesilapan teknikal dalam urusan penyerahan dokumen kepada FIFA. Ekoran itu, FAM dikenakan penggantungan serta denda besar oleh badan induk bola sepak dunia tersebut.

FAM kemudiannya menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat punca sebenar dan menggantung tugas Setiausaha Agung sementara waktu bagi memastikan ketelusan siasatan.

Jawatankuasa Rayuan FIFA kemudiannya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang menjatuhkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain terbabit, di samping denda CHF2,000 (RM10,800) seorang. FAM pula dikenakan penalti CHF350,000 (RM1.8 juta) akibat kesilapan itu.

Tujuh pemain yang dikenakan tindakan tersebut ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcas, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Iraurgui dan Hector Hevel. Mereka dikatakan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Sementara itu, FAM kini menunggu keputusan bertulis rasmi daripada FIFA. Selepas keputusan diterima, mereka mempunyai masa 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Kes ini bukan sahaja mencalarkan imej FAM di mata dunia, malah membuka perdebatan tentang profesionalisme dan ketelusan pentadbiran bola sepak di negara ini. Banyak pihak menuntut agar pembaharuan segera dilaksanakan bagi mengembalikan kepercayaan peminat dan pemain.

Tindakan undang-undang yang sedang dipertimbangkan oleh tujuh pemain tersebut dijangka menjadi isu besar dalam dunia bola sepak tempatan, dan hasilnya akan menjadi penanda aras penting terhadap kebertanggungjawaban institusi sukan di Malaysia.