SUKAN

Cklamovski dedah sebab tak panggil Morales dan Afiq Fazail

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski, akhirnya menjelaskan sebab utama beliau tidak memanggil penyerang naturalisasi negara, Romel Morales, dalam skuad Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November ini.

Menurut Cklamovski, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keadaan fizikal semasa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang kini mengalami kecederaan. Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pemain yang masih dalam proses pemulihan.

“Romel masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami. Kami mahu pastikan setiap pemain benar-benar cergas dan bersedia. Adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan antara prestasi dan kesihatan pemain,” katanya ketika ditemui pemberita.

Morales sebelum ini mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak dua gol membantu Malaysia menewaskan Laos 5-1 dalam perlawanan kelayakan bulan lalu. Namun, kecederaan yang dialaminya selepas itu memaksanya diketepikan sementara daripada tugasan bersama skuad kebangsaan.

Selain Morales, Cklamovski turut menjelaskan ketiadaan Afiq Fazail dalam senarai kali ini. Pemain tengah JDT itu, katanya, tidak dapat bersama skuad kebangsaan atas sebab keluarga yang memerlukan perhatiannya.

“Afiq tidak dapat sertai kem kali ini kerana perlu bersama keluarganya buat masa ini,” kata pengendali berusia 46 tahun itu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat lalu mengumumkan senarai 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula hari ini sebagai persediaan menentang Nepal. Bagaimanapun, pemilihan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Antara nama yang menjadi bualan ialah pemain pertahanan senior, Junior Eldstal, yang disertakan dalam senarai meskipun kurang beraksi bersama kelabnya. Pemilihan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat, namun Cklamovski menegaskan keputusan dibuat berdasarkan penilaian semasa, bukan semata-mata kepada minit permainan di kelab.

“Dia (Eldstal) antara pemain yang berlatih sangat keras. Saya tahu ada banyak pandangan berbeza, tetapi bagi saya dia memberikan nilai tambah kepada skuad ini. Dia memiliki pengalaman dan komitmen tinggi dalam latihan,” jelas jurulatih kelahiran Australia itu.

Tambahnya, tiada pemain dalam skuad kebangsaan yang diberikan jaminan automatik untuk berada dalam kesebelasan utama. Semua pemain, katanya, perlu menunjukkan kemampuan sebenar dalam latihan.

“Tiada siapa dapat tempat secara automatik. Setiap pemain perlu berjuang dalam sesi latihan untuk buktikan kemampuan mereka. Persaingan seperti ini yang kita mahu lihat dalam pasukan,” katanya lagi.

Menurutnya, semangat juang pemain dalam kem kali ini sangat positif. “Saya suka lihat semua pemain berusaha keras. Kami sedang membina suasana kompetitif yang sihat dalam pasukan ini, dan ia penting untuk kelangsungan prestasi,” ujar Cklamovski.

Jurulatih itu menegaskan tumpuan utama kini adalah memastikan skuad kebangsaan tampil mantap menghadapi cabaran getir menentang Nepal, selain mengekalkan momentum kemenangan sebelum ini.