SUKAN

Facundo Garces masih selamat

Facundo Garces, pemain warisan Harimau Malaya yang kini beraksi bersama Deportivo Alaves, masih mendapat kepercayaan penuh daripada kelabnya walaupun isu pemalsuan dokumen membabitkannya belum menemui noktah. FIFA sebelum ini menolak rayuan berhubung kes tersebut, namun pihak pengurusan Alaves menegaskan mereka tidak akan tergesa-gesa mengambil sebarang tindakan terhadap pemain berkenaan.

Presiden kelab, Alfonso Fernandez de Troconiz, dipetik menerusi laporan portal Futbol Fantasy berkata, pihaknya tidak mempunyai sebab untuk menghukum Garces selagi siasatan belum selesai dan keputusan muktamad belum dikeluarkan. “Ia perkara peribadi bagi pemain dan bukan di bawah kawalan kelab. Kami faham ia memberi kesan kepada pasukan, tetapi kami memilih untuk terus mempercayainya,” katanya.

Alfonso menambah, buat masa ini tiada apa yang berubah dalam kedudukan pemain itu di kelab kerana beliau masih mempunyai hak untuk membuat rayuan. “Kami menghormati hak setiap pemain dan akan tunggu keputusan akhir. Selagi tiada pengesahan rasmi, kami tidak akan membuat sebarang tindakan terburu-buru,” ujarnya lagi.

Kes ini bukan hanya melibatkan Garces seorang. Turut terpalit enam lagi pemain lain termasuk Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca. Kesemua mereka dikenakan tindakan yang sama oleh FIFA selepas siasatan mendapati terdapat unsur penipuan dalam dokumen pendaftaran.

Rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini juga ditolak oleh FIFA, sekali gus mengekalkan semua hukuman sedia ada. Antara hukuman yang dikenakan ialah penggantungan 12 bulan terhadap setiap pemain dan denda sebanyak CHF2,000 (kira-kira RM10,374). FAM turut dikenakan denda besar berjumlah CHF350,000 atau bersamaan RM1.8 juta.

Menurut kenyataan rasmi FAM, mereka kini menunggu alasan bertulis daripada FIFA bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, termasuk mempertimbangkan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). “Kami akan meneliti semua aspek dan memastikan proses pembelaan dijalankan dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, laporan antarabangsa menyebut bahawa Gabriel Palmero menjadi pemain pertama yang merasai kesan langsung hukuman berkenaan apabila kontraknya bersama CD Tenerife, kelab divisyen tiga Sepanyol, ditamatkan. Keputusan itu memberi gambaran bahawa implikasi daripada hukuman FIFA bukan sahaja menjejaskan reputasi pemain, malah turut menimbulkan risiko terhadap kerjaya mereka di Eropah.

Bagi Deportivo Alaves, pendirian mereka untuk terus mempertahankan Garces dilihat sebagai langkah berhati-hati dan penuh profesionalisme. Dalam suasana tekanan daripada pihak luar, kelab itu enggan membuat keputusan terburu-buru sebaliknya menunggu sehingga semua proses perundangan selesai. Sokongan ini memberi isyarat bahawa Garces masih mempunyai tempat di hati pengurusan pasukan meskipun berada dalam situasi sukar.

Kes pemalsuan dokumen ini kini menjadi perbincangan hangat dalam dunia bola sepak antarabangsa kerana melibatkan lebih daripada satu negara dan pelbagai kelab. Dengan FAM masih berusaha mempertahankan kedudukan pemain warisan mereka, perkembangan kes ini pasti terus mendapat liputan meluas dalam minggu-minggu mendatang.