SUKAN

Luqman Hakim muncul wira benam Timor Leste

Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) mengharungi persiapan menjelang aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) dengan semangat tinggi selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan kebangsaan Timor Leste dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Perlawanan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain untuk mengekalkan tahap kecergasan, malah menjadi platform penting buat barisan kejurulatihan menilai tahap taktikal dan kefahaman pemain terhadap corak permainan yang diterapkan sepanjang musim.

Kemenangan tersebut diilhamkan oleh dua jaringan cantik daripada penyerang muda berbakat, Luqman Hakim Shamsudin, yang muncul sebagai wira skuad Hobin Jang Hobin. Kedua-dua gol dijaringkan dalam separuh masa pertama, sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna di hadapan 2,138 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan.

Luqman, bekas pemain K.V. Kortrijk dari Belgium, dilihat semakin serasi dengan rakan sepasukan dan menunjukkan naluri pemusnah yang pernah menjadikan beliau prospek besar bola sepak negara. Dua jaringannya itu memberi keyakinan baharu bukan sahaja buat dirinya, tetapi juga buat penyokong yang sekian lama menantikan sentuhan berbisa penyerang muda ini.

Ketua jurulatih NSFC, Nidzam Jamil, dalam reaksinya selepas perlawanan berkata, objektif utama bukanlah kemenangan, sebaliknya memastikan skuad bimbingannya terus berada dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum.

“Perlawanan ini sebahagian daripada persediaan kami menjelang aksi menentang Terengganu FC. Ia membantu mengekalkan semangat dan kecergasan pemain di tahap tertinggi,” kata Nidzam.

Beliau menambah bahawa perlawanan antarabangsa seperti ini amat berharga dalam memberi pendedahan kepada pemain serta memperkukuh kefahaman taktikal pasukan. Katanya, ia juga peluang untuk menilai sejauh mana pemain mampu menyesuaikan diri dengan arahan taktikal yang dirancang.

“Pemain menunjukkan komitmen baik dan kefahaman mereka terhadap sistem permainan semakin meningkat. Itu sesuatu yang positif,” jelasnya.

Pengendali berusia 45 tahun itu turut berharap momentum kemenangan berkenaan dapat diteruskan menjelang pertemuan dengan Terengganu FC pada 22 November ini. Beliau yakin semangat tinggi dan keyakinan pasukan dapat membantu NSFC mengekalkan rentak baik dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Setakat ini, NSFC menghuni tangga keenam Liga Super dengan 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan daripada lapan perlawanan. Walaupun berada di pertengahan carta, prestasi stabil itu membuktikan pasukan kendalian Nidzam berada di landasan betul.

Dengan Luqman kembali menemui sentuhan gol dan keseluruhan pasukan menunjukkan peningkatan dari segi taktikal, penyokong NSFC pastinya menaruh harapan tinggi untuk melihat skuad Hobin Jang Hobin terus mencipta keputusan positif dalam perlawanan akan datang.