SUKAN

‘Selamat Tinggal’ Rodrigo Holgado

Isu penggantungan tujuh pemain negara oleh FIFA kembali menjadi tumpuan apabila penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kini berada di ambang kehilangan kontrak bersama kelabnya, America de Cali. Perkembangan ini menjadikan beliau pemain kedua yang terkesan secara langsung selepas Gabriel Palmero ditamatkan kontraknya pada Sabtu lalu oleh Unionistas de Salamanca.

Menurut laporan terbaharu yang dikongsi wartawan Colombia, Pipe Sierra, melalui platform X, America de Cali telah mengarahkan pasukan undang-undang mereka memulakan proses penamatan kontrak Holgado. Tindakan itu diambil berikutan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang sebelum ini memuktamadkan penggantungan 12 bulan ke atas pemain berkenaan, selari dengan hukuman asal oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada penghujung September.

Holgado, yang menjadi tonggak penting skuad kebangsaan Malaysia sepanjang tempoh bersama Harimau Malaya, kini bukan sahaja berdepan penggantungan antarabangsa malah turut kehilangan kedudukan profesionalnya di peringkat kelab. Menurut Sierra, langkah America de Cali ini merupakan reaksi segera selepas mereka menerima keputusan rasmi daripada FIFA yang mengekalkan semua hukuman ke atas pemain.

Dalam kenyataannya, Sierra turut memaklumkan bahawa FAM kini sedang menyiapkan dokumen lengkap untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Ini adalah susulan daripada tindakan awal FAM mengemukakan rayuan kepada FIFA, namun rayuan tersebut ditolak sekali gus mengekalkan penggantungan dan denda ke atas semua pihak terlibat.

Sebelum episod melibatkan Holgado tercetus, Palmero terlebih dahulu menerima kesan sama apabila kelabnya, Unionistas de Salamanca, mengambil keputusan menamatkan kontraknya. Dalam kenyataan rasmi, kelab Sepanyol itu menjelaskan mereka terpaksa mengambil langkah drastik tersebut selepas menerima notis daripada FIFA bahawa Palmero digantung selama 12 bulan.

Selain Holgado dan Palmero, lima lagi pemain turut berada dalam situasi sama. Mereka ialah Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel serta Imanol Machuca. Semua pemain berkenaan dikenakan penggantungan 12 bulan selain denda individu CHF2,000 (RM10,374). FAM pula dikenakan denda lebih besar berjumlah CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta).

Penggantungan ini bukan sahaja memberi impak kepada perjalanan karier setiap pemain, tetapi turut memberikan tekanan besar kepada FAM. Dengan hukuman tersebut kekal, FAM kini menunggu alasan bertulis daripada FIFA untuk mengkaji secara terperinci ruang tindakan undang-undang yang masih tersedia, termasuk kemungkinan mencabar keputusan itu di CAS.

Kesemua perkembangan ini terus mencetuskan kegusaran dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana ia bukan sahaja menghalang pemain-pemain terbabit beraksi di peringkat antarabangsa, malah menyebabkan kelab masing-masing mula mengambil langkah tegas yang memberi kesan kepada masa depan kerjaya mereka.

Penamatan kontrak dua pemain dalam tempoh beberapa hari menggambarkan betapa besar impak hukuman FIFA tersebut. Dengan Holgado kini berdepan nasib yang sama seperti Palmero, tumpuan kini terarah kepada tindakan FAM serta reaksi kelab-kelab lain yang mempunyai pemain terlibat dalam isu ini.