SUKAN

TERKINI : Jordan Mintah mungkin tidak dapat sarung jersi Harimau Malaya

Persiapan skuad kebangsaan menghadapi Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menerima tamparan apabila penyerang Jordan Mintah dilaporkan tidak berada pada tahap kecergasan terbaiknya. Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Prestasi Tinggi, Dr Craig Duncan, selepas data kesihatan pemain tersebut menunjukkan ketidakselarasan daripada kebiasaan sepanjang proses pemantauan harian.

Pada mulanya pasukan perubatan menganggap Mintah hanya mengalami selsema ringan dan tidak menjangkakan keadaan itu akan memberi kesan ketara terhadap prestasinya. Namun, apabila sistem pemantauan mendapati keputusan data yang direkodkan menunjukkan prestasi fizikal yang merosot, pasukan prestasi memutuskan untuk melakukan kajian lebih mendalam.

Duncan menerangkan bahawa pasukan kebangsaan mempunyai sistem pemantauan moden yang merekodkan pelbagai maklumat melibatkan aktiviti seharian pemain, termasuk ketika mereka berlatih, tidur dan menjalankan rutin pemulihan. Data-data ini membantu pasukan memahami pola prestasi setiap pemain serta mengenal pasti sebarang perubahan yang boleh menjejaskan kesediaan fizikal untuk beraksi.

“Kami mempunyai sistem pemantauan yang baik, ia mengumpul data ketika pemain berlatih, tidur dan melakukan sesuatu perkara. Apabila keputusan keluar dan mengenalpasti prestasi mereka dan mendapati sesuatu tidak berada di situ, jadi kami perlu melakukan penyelidikan,” katanya.

Analisis lanjut kemudian menunjukkan Mintah berdepan isu kesihatan yang lebih serius daripada jangkaan awal. Difahamkan bahawa masalah tersebut berkait dengan kondisi tiroid dan jantung, menjadikannya keadaan yang memerlukan perhatian perubatan mendalam. Walaubagaimanapun, Dr Duncan enggan mengesahkan laporan tersebut atas dasar kerahsiaan data perubatan pemain.

“Saya berasakan isu mengenai perubatan pemain adalah sulit,” jelasnya. Beliau menegaskan bahawa privasi pemain merupakan aspek yang perlu dipelihara dan pasukan perubatan hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi apabila ia benar-benar diperlukan untuk tujuan keselamatan dan pengurusan pasukan.

Berita mengenai keadaan Mintah ini semestinya memberi kesan kepada perancangan pasukan kebangsaan yang sedang mempersiapkan diri untuk aksi kelayakan penting tersebut. Mintah merupakan antara pemain yang sentiasa diberikan perhatian kerana keupayaannya memberi impak dalam serangan. Namun, situasi kesihatannya yang tidak stabil memaksa pasukan teknikal mempertimbangkan alternatif lain sekiranya dia tidak dapat diturunkan.

Mengulas mengenai situasi itu, Duncan menegaskan bahawa tiada kompromi boleh dibuat apabila melibatkan kesihatan pemain. Data yang menunjukkan ketidak seimbangan prestasi adalah isyarat penting bahawa seseorang pemain mungkin tidak berada dalam keadaan ideal untuk beraksi. Sekiranya dipaksa bermain dalam keadaan sedemikian, risiko kecederaan atau komplikasi kesihatan akan meningkat.

Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan keselamatan Mintah terjamin. Proses pemeriksaan seterusnya akan menentukan sama ada keadaan pemain itu stabil atau memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang. Keputusan berhubung penyertaannya dalam perlawanan menentang Nepal hanya akan dibuat selepas penilaian lengkap diterima.

Dalam bola sepak era moden, penggunaan data sains sukan memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesiapsiagaan setiap pemain. Sistem pemantauan yang digunakan oleh skuad kebangsaan bukan sahaja membantu mengesan penurunan prestasi, tetapi juga bertindak sebagai langkah pencegahan terhadap masalah kesihatan lebih besar.

Buat masa ini, tumpuan pasukan kebangsaan adalah meneruskan persiapan menjelang aksi kelayakan tersebut sambil menantikan laporan terbaru mengenai keadaan Mintah. Sementara itu, Dr Duncan percaya bahawa pendekatan saintifik dalam memantau kesihatan pemain akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat demi memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran yang bakal tiba.