Gelombang kejayaan yang dicipta oleh beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah, sekali lagi mencuri perhatian dunia badminton apabila mereka dinobatkan sebagai juara Masters Kumamoto 2025. Dengan kemenangan terbaharu itu, pasangan nombor dua dunia ini bukan sahaja menambah koleksi gelaran, malah semakin kukuh kedudukan mereka sebagai beregu wanita Malaysia paling berjaya dalam sejarah moden.
Sejak mula menembusi kelompok elit dunia pada tahun 2021, Pearly-Thinaah berjaya mencipta deretan pencapaian yang sukar disaingi. Dalam tempoh empat tahun, mereka sudah mengumpulkan enam gelaran Jelajah Dunia BWF, satu pencapaian yang tidak pernah diulangi oleh mana-mana beregu wanita Malaysia sebelum ini. Kejayaan tersebut meliputi Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024, Terbuka Thailand 2025, Terbuka Artik 2025 serta gelaran terbaharu di Kumamoto.
Momentum cemerlang mereka semakin menyerlah apabila melakar sejarah pada Ogos lalu sebagai beregu wanita Malaysia pertama mara ke final Kejohanan Dunia di Paris. Detik itu bukan sahaja memperlihatkan kematangan permainan mereka tetapi juga meletakkan nama Malaysia di pentas dunia dalam kategori beregu wanita yang sebelum ini sukar ditembusi.
Jika ditelusuri sejarah badminton wanita Malaysia, tiada gandingan yang mampu menandingi rentetan kejayaan Pearly-Thinaah. Beberapa pasangan seperti Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pernah berada di kemuncak pada era mereka, namun jumlah gelaran yang diraih tidak menghampiri apa yang telah dicapai pasangan era moden ini. Pei Tty-Ee Hui mengumpul empat gelaran Siri Super sebelum format baharu diperkenalkan. Sementara itu, Vivian Hoo-Woon Khe Wei hanya berjaya membawa pulang dua gelaran Grand Prix sepanjang kerjaya mereka. Manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula pernah memenangi satu gelaran Jelajah Dunia serta dua kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa.
Kecemerlangan Pearly-Thinaah di Masters Kumamoto 2025 sekali lagi menyerlahkan keupayaan mereka tampil sebagai juara pada saat penting. Di final, mereka dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan tuan rumah yang berada di ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi. Skor 22-20, 21-19 memberikan gambaran betapa sengitnya pertembungan tersebut, namun ketenangan dan keberanian Pearly-Thinaah membolehkan mereka mengawal permainan di saat mata-mata kritikal.
Kemenangan itu turut mengulangi kejayaan mereka ketika menewaskan pasangan sama di pentas final Terbuka Artik sebulan lalu. Rentetan dua kemenangan berturut-turut ke atas gandingan Jepun itu memberi isyarat bahawa Pearly-Thinaah kini berada pada tahap keyakinan yang sangat tinggi.
Lebih istimewa, mereka kini muncul pasangan Malaysia pertama memenangi Masters Kumamoto sejak kejohanan itu mula dianjurkan pada 2023. Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia hanyalah menerusi naib juara perseorangan lelaki oleh Leong Jun Hao pada edisi tahun lalu.
Selepas kemenangan dramatik itu, Pearly menyatakan rasa bangga terhadap semangat juang mereka. “Ia perlawanan yang sangat sengit, mereka benar-benar memberikan tentangan yang hebat. Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini,” katanya.
Thinaah pula mengakui bahawa kekuatan mental dan sokongan emosi antara mereka menjadi faktor utama kejayaan kali ini. “Saling menyokong dan memberi motivasi pada setiap mata,” katanya ringkas tetapi padat dengan makna.
Dengan kejayaan di Kumamoto, musim 2025 menjadi antara musim paling gemilang buat Pearly-Thinaah apabila mereka sudah mengumpul tiga gelaran termasuk Terbuka Thailand dan Terbuka Artik. Prestasi konsisten mereka jelas menjadi petanda bahawa pasangan ini bukan sahaja mampu kekal sebagai kuasa besar Asia, tetapi juga calon utama untuk meraih gelaran major lain pada masa hadapan.
Kemaraan mereka dalam arena antarabangsa juga menandakan bahawa badminton wanita Malaysia kini berada pada fasa kebangkitan semula, disokong oleh rekod luar biasa gandingan ini. Kejayaan-kejayaan tersebut bukan sahaja mengangkat nama mereka, tetapi turut memberi inspirasi kepada generasi pemain wanita muda yang kini melihat bahawa kejayaan di pentas dunia bukan lagi sesuatu yang mustahil.
Dengan rekod semasa dan konsistensi yang semakin mantap, Pearly-Thinaah kini dianggap sebagai penyambung legasi baharu badminton Malaysia di pentas dunia, sekali gus menambah nilai kepada kehadiran Malaysia dalam kategori beregu wanita.