SUKAN

Ling Ching dedah individu disebalik kebangkitan prestasi tahun ini

Kepulangan jurulatih berpengalaman, Iskandar Zulkarnain Zainuddin disifatkan sebagai titik perubahan utama dalam kebangkitan prestasi pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching sepanjang musim 2025, sekali gus menjadi asas penting dalam persiapan mental dan taktikalnya menjelang musim 2026.

Ling Ching mengakui, tempoh setahun kebelakangan ini menjadi fasa pembelajaran yang besar selepas melalui turun naik prestasi serta keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat sementara waktu. Namun, kehadiran semula Iskandar bersama Kenneth Jonassen telah membantu menstruktur semula pendekatan latihan dan mengembalikan keyakinannya sebagai pemain profesional.

“Saya paling bersyukur tahun ini kerana dapat bekerja dengan Coach Iskandar. Kedua-dua jurulatih ini banyak membantu saya dan hasil latihan itu benar-benar berbaloi. Saya harap tahun depan akan lebih banyak kejayaan dapat dicapai,” katanya.

Menurut Ling Ching, perubahan terbesar yang dirasai ialah dari segi pemahaman permainan dan keberanian membuat keputusan ketika berdepan tekanan. Pendekatan latihan yang lebih terperinci serta penekanan kepada aspek mental membolehkannya tampil lebih tenang di gelanggang, terutama ketika perlawanan memasuki fasa kritikal.

Dalam merangka perancangan musim 2026, Ling Ching menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia dalam tempoh enam bulan pertama. Beliau menyifatkan sasaran tersebut sebagai realistik dan selari dengan keperluan untuk mendapatkan akses ke kejohanan bertaraf Super 750 dan Super 1000, yang menjadi pentas utama pemain elit dunia.

“Sasaran Top 32 sangat penting kerana sekarang agak sukar untuk masuk kejohanan besar. Tahun depan, kejohanan pertama saya bermula di Terbuka Indonesia Siri Super 500,” jelasnya.

Walaupun menetapkan sasaran jelas, Ling Ching tidak menutup mata terhadap jurang prestasi yang masih wujud antara dirinya dan pemain-pemain teratas dunia. Beliau mengakui, keupayaan untuk menewaskan pemain dalam kelompok 32 terbaik masih memerlukan peningkatan dari pelbagai sudut.

“Buat masa ini, untuk menang ke atas pemain yang berada dalam kelompok 32 masih sukar. Saya mungkin boleh memberi tentangan, tetapi saya sedar banyak perkara perlu diperbaiki,” katanya.

Ling Ching menjelaskan, fokus utama kini tertumpu kepada pembinaan ketahanan mental, peningkatan kemahiran teknikal serta kematangan dalam membuat keputusan pantas. Beliau percaya, keupayaan mengawal emosi dan mengekalkan disiplin taktikal menjadi faktor pembeza di peringkat tertinggi.

Mengulas kembali prestasi sepanjang 2025, Ling Ching menyifatkan pertemuan menentang bekas juara dunia, Ratchanok Intanon di Kumamoto sebagai pengalaman yang paling memberi kesan. Aksi tersebut bukan sahaja menguji fizikal, malah menjadi ujian mental yang membuka mata tentang tuntutan sebenar badminton elit.

“Itu perlawanan yang buat saya sedar saya tidak boleh kalah tanpa fight. Saya mahu ingat perasaan itu supaya tidak mengulanginya lagi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan peminat dianggap sebagai motivasi, bukan tekanan. Menurut Ling Ching, sokongan tersebut membantu meningkatkan keyakinan dan semangat untuk terus berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

Menjelang musim 2026, Ling Ching menyasarkan untuk mengekalkan tahap kecergasan yang optimum, mengelakkan kecederaan dan memastikan konsistensi prestasi di setiap kejohanan. Beliau percaya kestabilan jangka panjang lebih penting berbanding pencapaian sementara.

Sebelum ini, Ling Ching berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat negara di Sukan SEA Thailand selepas menewaskan pemain Indonesia, Ni Kadek Dhinda Amartya Pratiwi di peringkat suku akhir. Namun, langkahnya terhenti di separuh akhir selepas tewas dalam pertarungan tiga set yang sengit, 11-21, 21-18, 17-21 kepada pemain pilihan tuan rumah dan bekas juara dunia, Ratchanok Intanon. Keputusan itu dianggap sebagai pengalaman penting dalam proses pembinaan semula prestasi dan keyakinan.