Kontroversi membabitkan status tujuh pemain naturalisasi Malaysia kembali memanaskan landskap bola sepak serantau apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir dikaitkan sebagai individu utama yang menggerakkan aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Dakwaan itu timbul selepas pendedahan sumber dalam FIFA yang menyatakan penglibatan tidak langsung kepimpinan tertinggi PSSI dalam proses tersebut.
Perkara itu muncul sebagai reaksi terhadap laporan terdahulu bahawa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menamakan Vietnam sebagai pihak yang mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA. Namun menurut sumber daripada Amerika Latin yang berada dalam badan induk dunia itu, terdapat dimensi lain yang tidak didedahkan secara terbuka.
Sumber tersebut mendakwa Erick Thohir mengarahkan individu tertentu untuk mengemukakan aduan dan menghantar dokumen berkaitan kepada pihak dalam FIFA secara tidak langsung. “Dia (Erick Thohir) suruh dan hantar orang buat aduan sambil cari dan hantar dokumen kepada orang dalam FIFA secara indirect. Vietnam buat complain, tetapi dokumen adalah dari orang upahan Erick Thohir,” jelasnya.
Walaupun AFC menyatakan Vietnam sebagai pihak rasmi yang mengemukakan aduan, sumber berkenaan menegaskan bahawa secara de facto, inisiatif itu dipercayai datang daripada pucuk pimpinan PSSI. Dakwaan ini sekali gus mencetuskan persoalan tentang motif sebenar tindakan berkenaan dalam konteks persaingan bola sepak Asia Tenggara yang semakin sengit.
Erick Thohir yang turut memegang jawatan Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) Indonesia sebelum ini telah menafikan dirinya sebagai dalang dalam isu tersebut. Namun pendedahan terbaharu itu meletakkan beliau kembali di tengah polemik pentadbiran bola sepak rantau ini.
Isu ini timbul ketika skuad Harimau Malaya sedang mempersiapkan diri untuk kejohanan antarabangsa. Gangguan luar padang yang tercetus dilihat berpotensi menjejaskan tumpuan pasukan negara, khususnya dalam memastikan kestabilan taktikal dan kesiapsiagaan mental pemain menjelang cabaran kompetitif.
Menurut sumber yang sama, kebimbangan terhadap peningkatan prestasi Malaysia dipercayai menjadi antara faktor utama yang mendorong tindakan berkenaan. Prestasi skuad kebangsaan Malaysia yang menunjukkan kemajuan signifikan dikatakan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pesaing serantau.
Selain itu, Erick Thohir turut didakwa kurang senang dengan penglibatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam industri bola sepak Malaysia. Dakwaan itu disertai tuduhan bahawa beberapa media miliknya serta portal berita di Indonesia digunakan untuk menyiarkan kandungan negatif terhadap pasukan Harimau Malaya.
Pemerhati sukan melihat sekiranya benar dakwaan tersebut berasas, ia boleh memberi implikasi terhadap imej kesukanan serantau. Hubungan dua negara jiran yang mempunyai sejarah panjang persaingan memerlukan pengurusan isu secara profesional dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang jelas.
Untuk rekod, Erick Thohir pernah berdepan isu tadbir urus apabila memegang dua jawatan penting dalam PSSI secara serentak. Tindakannya sebagai Presiden PSSI dan pada masa sama mengetuai Jawatankuasa Pengadil mencetuskan teguran kerana bertentangan dengan garis panduan FIFA yang tidak membenarkan pemimpin tertinggi persatuan memegang pelbagai jawatan berkaitan pengadilan.
Beliau pernah disarankan agar melepaskan salah satu jawatan bagi mengelakkan konflik kepentingan. Namun Erick Thohir mempertahankan keputusannya dengan alasan mahu memantau sendiri pembaharuan sistem pengadilan bola sepak Indonesia.
Langkah itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang melihatnya sebagai amalan pemusatan kuasa. Isu ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran PSSI menjadi topik perbahasan terbuka ketika itu.
Pada Oktober tahun lalu, beliau sekali lagi mencetuskan polemik apabila mempertikaikan pemilihan pengadil oleh FIFA dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026. Beliau mempersoalkan pelantikan pengadil dari negara Arab ketika Indonesia berdepan Arab Saudi selepas tewas 2-3 kepada Arab Saudi pada aksi pusingan keempat, sebelum dijadualkan menentang Iraq.
Kenyataan terbuka itu menimbulkan reaksi bercampur, dengan segelintir pemerhati menyifatkannya sebagai tekanan terhadap sistem pengadilan antarabangsa. Rentetan episod tersebut memperlihatkan corak pendekatan yang tegas dan terbuka dalam menangani isu pentadbiran bola sepak.
Kini, dakwaan penglibatan dalam aduan terhadap pemain naturalisasi Malaysia menambah satu lagi dimensi kepada polemik yang mengaitkan namanya. Sama ada benar atau sebaliknya, isu ini terus menjadi perhatian dalam landskap bola sepak Asia Tenggara.
Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Erick Thohir mahupun PSSI berhubung dakwaan terbaharu ini. Namun kontroversi yang berulang kali dikaitkan dengan kepimpinannya mengukuhkan persepsi bahawa beliau memainkan peranan signifikan dalam dinamika pentadbiran bola sepak serantau.