SUKAN

Peluang JDT lunas dendam di pusingan 16

Cabaran Johor Darul Ta’zim dalam Liga Juara-Juara Asia Elit kini memasuki fasa paling kritikal apabila wakil Malaysia itu diundi menentang Sanfrecce Hiroshima pada pusingan 16 terbaik, dengan aksi pertama berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Mac sebelum perlawanan timbal balik di Jepun pada 10 Mac.

Kedudukan keenam Zon Timur dengan 11 mata daripada keseluruhan kempen peringkat kumpulan memastikan JDT berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik yang layak secara automatik ke peringkat kalah mati. Format pertandingan menetapkan padanan berdasarkan tangga masing-masing, sekali gus mempertemukan JDT dengan pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Sementara itu, FC Machida Zelvia yang menduduki tangga teratas akan menentang Gangwon FC di tangga kelapan. Vissel Kobe sebagai naib juara zon dijadualkan bertemu FC Seoul yang menghuni tempat ketujuh. Buriram United di kedudukan keempat pula bakal berdepan Melbourne City FC yang berada di tangga kelima.

Bagi JDT, pertemuan ini bukan sekadar ulangan perlawanan lalu, malah peluang menebus kekalahan 1-2 di Hiroshima dua minggu lalu. Dalam aksi tersebut, situasi berubah seawal minit ke-16 apabila Jonathan Silva diperintah keluar padang selepas menghalang bola menggunakan tangan di hadapan gawang. Bermain dengan 10 pemain memberi tekanan besar terhadap organisasi bertahan dan keupayaan mengawal tempo permainan.

Ramai penyokong tempatan melihat kekalahan itu sebagai sesuatu yang boleh dielakkan sekiranya JDT menamatkan perlawanan dengan kekuatan penuh. Namun dalam saingan peringkat elit Asia, setiap keputusan kecil membawa implikasi besar terhadap keputusan akhir.

Pemerhati bola sepak, Sulaiman Hussin berpandangan JDT perlu memanfaatkan sepenuhnya aksi pertama di laman sendiri. “Ini perlawanan kalah mati pusingan ke-16 apabila diundi bertemu pasukan Jepun, pastinya pasukan JDT tidak boleh mengambil mudah apabila menentang pasukan dari Jepun.

“Walaupun rata-rata pemain mereka banyak adalah pemain tempatan tapi mereka punyai kualiti individu yang baik. Tapi saya melihat pula pada ketika ini, pasukan JDT mempunyai satu pasukan seimbang di semua posisi untuk memberi saingan terbaik.

“Paling penting adalah apabila perlawanan pertama nanti bermain di tempat sendiri, kita harap dapat menggunakan segala kesempatan dengan baik, mengurangkan kesilapan bagi mendapatkan bekalan yang baik untuk bawa bekalan ke perlawanan kedua.

“Tapi saya yakin dengan semangat ditunjukkan pasukan JDT ketika menentang Vissel Kobe tempoh hari, kalau dapat kekalkan barisan hadapan lebih tajam kita mampu untuk mencapai satu keputusan yang baik di pusingan 16 nanti,” katanya.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Vissel Kobe sebelum ini menjadi petunjuk bahawa JDT memiliki kapasiti bersaing dengan kelab Jepun apabila disiplin taktikal dan intensiti fizikal diterjemahkan secara konsisten. Ketajaman di bahagian serangan serta keupayaan bertahan secara kolektif bakal menentukan hala tuju dua perlawanan ini.

Sulaiman yang juga Pengarah Teknikal KLFA menegaskan tiada yang mustahil dalam bola sepak. “Pastinya bukan satu perkara mudah tapi saya yakin pada kali ini pasukan JDT sudah belajar banyak dari kejohanan ACL ini dapat mencapai satu keputusan yang baik dan kejutan ke atas pasukan Jepun ini,” katanya.

Rekod musim lalu menyaksikan perjalanan JDT terhenti di peringkat sama selepas tewas kepada Buriram United. Justeru, perlawanan menentang Sanfrecce Hiroshima hadir dengan dimensi sejarah kerana kemenangan agregat akan membawa Harimau Selatan ke suku akhir buat pertama kali di pentas tertinggi Asia.

Fokus utama kini terarah kepada bagaimana JDT mengurus tekanan dan memaksimumkan kelebihan bermain di Stadium Sultan Ibrahim. Dalam saingan dua perlawanan, keseimbangan antara menyerang dan bertahan menjadi elemen penting, selain disiplin mengelak kesilapan yang boleh dihukum lawan berkualiti tinggi.

Undian ini meletakkan JDT dalam ujian berat, namun pada masa sama membuka ruang untuk membuktikan kematangan taktikal dan daya tahan mental di pentas Asia. Keputusan 3 Mac akan menjadi asas sebelum aksi penentuan di Jepun yang bakal menentukan sama ada JDT mampu melakar sejarah baharu dalam saingan ACLE.