Fokus terhadap rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan mungkin menguasai perbincangan awam ketika ini, namun dimensi yang lebih besar terletak pada potensi tindakan lanjut oleh Konfederasi Bolasepak Asia dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia.
Kes pemalsuan dokumen melibatkan Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel kini berada di penghujung proses perundangan selepas pendengaran rayuan berlangsung hari ini. Walaupun keputusan CAS bakal menentukan status rayuan, impaknya dijangka melangkaui isu individu pemain.
AFC sebelum ini menjelaskan bahawa sebarang ketetapan terhadap FAM akan dibuat selepas keputusan CAS diumumkan. Perkara itu berkait secara langsung dengan dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0 dengan menggunakan pemain warisan berkenaan.
Sebelum ini, FIFA telah mengambil tindakan tegas dengan membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin. Malaysia turut diberikan kekalahan 3-0 dalam ketiga-tiga aksi tersebut atas alasan penggunaan pemain tidak layak. Langkah itu menjadi penanda aras kepada kemungkinan tindakan susulan yang lebih meluas.
Sekiranya keputusan CAS tidak menyebelahi tujuh pemain terbabit, AFC berpotensi menggunakan pendekatan sama terhadap dua perlawanan kelayakan tersebut. Jika Nepal dan Vietnam diberikan kemenangan 3-0, Malaysia akan kehilangan enam mata yang amat kritikal dalam struktur kumpulan.
Penganalisis bola sepak tempatan, Zakaria Rahim, melihat risiko itu sebagai ancaman utama kepada kelangsungan kempen Harimau Malaya. Beliau berpandangan bahawa AFC mungkin telah pun mempunyai pendirian tersendiri dan hanya menunggu isyarat rasmi daripada CAS.
“AFC mungkin sudah ada keputusan, tunggu masa nak umumkan sahaja selepas keputusan CAS. Andai kata keputusan di CAS nanti dikurangkan hukuman, bermakna masih bersalah (berkaitan kes pemalsuan dokumen).
“Jadi, sebenarnya, kita tidak risau sangat keputusan CAS, paling merisaukan adalah mengenai tindakan FIFA dan AFC susulan daripada keputusan CAS itu nanti. AFC dilihat akan ikut ‘bapa’ dia (FIFA), dan jika Nepal dan Vietnam diberi kemenangan 3-0 ke ke atas Malaysia, skuad Harimau Malaya hilang enam mata.
“Situasi itu menyebabkan kita sudah boleh lupakan Piala Asia 2027 sebelum berdepan Vietnam sekali lagi bulan depan. Selain itu, terdapat kemungkinan juga FIFA akan gantung FAM susulan daripada kes berkenaan.
“Seandainya digantung, ia pasti akan merosakkan ekosistem bola sepak negara secara keseluruhan. Namun, sekiranya tidak digantung, kita patut bersyukur. Jadi, tindakan susulan FIFA dan AFC itu yang sepatutnya kita kena risaukan atau gerun, dan kita raikan jika ia positif,” katanya.
Ancaman penggantungan terhadap FAM menjadi dimensi paling berat dalam keseluruhan polemik ini. Sekatan sedemikian bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan kebangsaan, malah boleh mengganggu keseluruhan struktur pentadbiran dan penyertaan antarabangsa.
Namun begitu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John sebelum ini dilaporkan mendakwa FIFA mungkin tidak akan menggantung FAM susulan langkah pemulihan pentadbiran termasuk peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif. Kenyataan itu memberi gambaran bahawa faktor pembetulan dalaman turut diambil kira dalam penilaian badan dunia tersebut.
Di sebalik perkembangan itu, Zakaria menekankan bahawa isu ini telah mewujudkan defisit kepercayaan terhadap bola sepak Malaysia. Menurutnya, kes seperti ini akan kekal dalam memori komuniti sukan dan menjadi rujukan pada masa hadapan.
“Apa saja keputusan daripada CAS, defisit kepercayaan tetap ada dan ia akan berada di fikiran semua orang, sama seperti dihadapi Timor Leste. Mereka pernah kena hukuman kerana isu pemalsuan dokumen pemain dan sampai hari ini kes mereka jadi rujukan.
“Begitu juga dengan kes Malaysia, pada masa hadapan nanti akan jadi rujukan oleh persatuan lain yang kena tindakan seperti itu dan FIFA nak bertindak pun akan rujuk kes terdahulu seperti kes Malaysia, Timor Leste dan sebagainya,” katanya.
Dalam konteks persaingan kelayakan Piala Asia 2027, kehilangan enam mata akan memberi tekanan besar terhadap perancangan teknikal dan strategi pasukan. Lebih daripada itu, reputasi dan integriti pentadbiran menjadi taruhan utama dalam memastikan bola sepak Malaysia kembali mendapat kepercayaan.
Keputusan CAS hanyalah permulaan kepada fasa seterusnya. Tindakan AFC dan FIFA akan menentukan sama ada kes ini sekadar episod perundangan atau menjadi titik perubahan besar dalam sejarah bola sepak negara.