SUKAN

TERKINI : Indonesia, jurulatih berpisah

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) secara rasmi mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Satoru Mochizuki selepas hampir tiga tahun pengendali dari Jepun itu berkhidmat bersama pasukan berkenaan.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman Instagram rasmi pasukan kebangsaan Indonesia pada Khamis, sekali gus menamatkan perjalanan Mochizuki yang berjaya membawa Garuda Pertiwi meraih dua kejuaraan Piala AFF Wanita.

Pengendali berusia 62 tahun itu meninggalkan skuad kebangsaan selepas memainkan peranan penting dalam kejayaan Indonesia muncul juara kejohanan serantau berkenaan pada edisi 2024 dan 2026.

Menerusi kenyataan ringkas yang disiarkan, PSSI merakamkan penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen jurulatih yang lebih dikenali sebagai Coach Mochi itu.

“Arigatou gozaimashita, jurulatih Mochi.

“Terima kasih atas dedikasi, kerja keras dan sejarah indah yang ditinggalkan untuk Garuda Pertiwi,” menurut kenyataan berkenaan.

Mochizuki mula diberikan kepercayaan mengendalikan skuad wanita Indonesia pada Februari 2024 sebagai sebahagian daripada usaha PSSI memperkukuhkan pembangunan bola sepak wanita negara itu.

Pada tahun pertamanya, beliau berjaya membawa Indonesia mencipta sejarah apabila muncul juara Piala AFF Wanita 2024 selepas menewaskan Kemboja 3-1 dalam aksi final.

Kejayaan tersebut merupakan antara pencapaian penting dalam perkembangan bola sepak wanita Indonesia yang sebelum itu belum pernah menjulang kejuaraan berkenaan.

Bagaimanapun, perjalanan Mochizuki bersama skuad kebangsaan mengalami perubahan pada pertengahan 2025 apabila PSSI mengalihkan tanggungjawabnya daripada jawatan ketua jurulatih kepada bidang pembangunan bola sepak wanita.

Perubahan tersebut berlaku selepas Indonesia gagal melayakkan diri ke Piala Asia Wanita 2026, namun PSSI tetap mengekalkan khidmat jurulatih itu dalam struktur pembangunan pasukan.

Pada April 2026, Mochizuki kembali diberikan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad wanita Indonesia.

Kepercayaan tersebut dibalas dengan kejayaan apabila Garuda Pertiwi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Wanita 2026 selepas membelasah Laos 5-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Indonesia muncul juara dua edisi berturut-turut, sekali gus mengukuhkan pencapaian Mochizuki sepanjang membimbing pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, hubungan kerjasama tersebut kini berakhir selepas PSSI mengesahkan perpisahan kedua-dua pihak.

Setakat pengumuman dibuat, badan induk bola sepak Indonesia itu belum memperincikan sebab keputusan berkenaan diambil.

PSSI juga masih belum mengumumkan individu yang bakal menggantikan Mochizuki sebagai ketua jurulatih baharu skuad wanita kebangsaan.

Perpisahan itu menyaksikan Garuda Pertiwi perlu memasuki fasa persiapan seterusnya tanpa khidmat jurulatih yang berjaya membawa pasukan meraih dua gelaran serantau.

Meskipun tidak lagi bersama skuad kebangsaan, sumbangan Mochizuki tetap menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan bola sepak wanita Indonesia.