Sasaran Lee Zii Jia untuk kembali menembusi kelompok 32 terbaik dunia sebelum penghujung musim ini berdepan cabaran baharu selepas pemain perseorangan lelaki profesional negara itu gagal melepasi halangan pertama Kumamoto Masters Jepun 2026.
Pemain ranking ke-40 dunia tersebut tersingkir dalam saingan kelayakan selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Minoru Koga, dengan keputusan 15-21, 10-21 dalam tempoh 32 minit, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Zii Jia terpaksa menamatkan kempen lebih awal tanpa berpeluang meneruskan cabaran dalam undian utama kejohanan berstatus Super 500 berkenaan.
Lebih mengecewakan, penyertaan di Jepun merupakan satu daripada dua peluang terakhir pemain berusia 28 tahun itu untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia sebelum memasuki musim 2027.
Sebelum kejohanan bermula, jurulatihnya, Liew Daren, meletakkan sasaran supaya Zii Jia dapat kembali berada dalam kelompok 32 terbaik dunia melalui penyertaan di Kumamoto Masters dan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di India.
Menurut Daren, kedudukan tersebut penting bagi membolehkan Zii Jia memperkukuhkan peluang menyertai kejohanan utama, selain membantu perancangan jangka panjang menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Keadaan Zii Jia sudah baik dan dia tidak mengalami sebarang kesakitan sekarang. Kita masih ada dua kejohanan dan sasaran kami adalah untuk melakukan yang terbaik untuk dia kembali berada dalam kelompok 32 terbaik dunia,” katanya.
Bagaimanapun, keputusan hari ini bermakna Zii Jia kini perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan terakhirnya di India, yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 29 November.
Sebagai bekas pemain nombor dua dunia, Zii Jia pernah menunjukkan kemampuan bersaing di peringkat tertinggi termasuk muncul juara Seluruh England 2021 dan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.
Namun, kedudukan rankingnya terjejas selepas melalui tempoh mencabar yang menyaksikan penyertaannya dalam beberapa kejohanan terganggu akibat masalah kecergasan.
Pemain kelahiran Kedah itu sebelum ini menunjukkan petanda kebangkitan apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Artik di Finland, Oktober lalu.
Zii Jia yang mem