Persiapan skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman terus berdepan cabaran apabila seorang lagi tonggak negara terpaksa meninggalkan kem latihan di China.
Perkembangan terbaharu itu membabitkan pemain sayap Kuching City FC, Safawi Rasid yang dilaporkan pulang ke tanah air hari ini atas urusan keluarga.
Ketiadaan Safawi menjadi satu lagi tamparan kepada ketua jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe yang sebelum ini sudah kehilangan beberapa pemain utama menjelang pertemuan menentang China pada Sabtu ini.
Cheng Hoe mengesahkan pemain berusia 29 tahun itu telah memaklumkan mengenai situasi yang dihadapinya sebelum diberikan pelepasan untuk pulang ke Malaysia.
“Pihak pengurusan pasukan kebangsaan memahami situasi yang dihadapi Safawi dan kami menghormati keputusan dia untuk pulang ke Malaysia atas sebab urusan keluarga,” katanya.
Perkembangan tersebut hadir ketika Safawi dilihat berpotensi memainkan peranan penting dalam jentera serangan negara susulan ketiadaan Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.
Safawi yang sedang menunjukkan peningkatan prestasi bersama Kuching City sebelum ini turut menyatakan kesediaan untuk beraksi di beberapa posisi serangan, termasuk sayap kanan, sayap kiri dan pemain tengah menyerang.
Bagaimanapun, kepulangannya menyaksikan Cheng Hoe kini perlu mencari pilihan lain bagi memperkuatkan bahagian serangan skuad kebangsaan.
Antara pemain yang berpotensi diberikan tanggungjawab di bahagian sayap ialah Richard Chin, Ramadhan Saifullah Usman dan G Pavithran.
Sebelum ini, Cheng Hoe tidak menyenaraikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk Arif Aiman, Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo, Stuart Wilkin dan La’Vere Corbin-Ong bagi memberikan ruang kepada kelab berkenaan menghadapi jadual pertandingan yang padat.
Pada Isnin lalu, situasi skuad kebangsaan bertambah rumit apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan enam pemain Selangor FC tidak dapat menyertai pasukan akibat kecederaan.
Mereka ialah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A Selvan, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Susulan itu, Cheng Hoe memanggil lima pemain gantian iaitu Suhaimi Husin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ariff Farhan Md Isa dan Syafiq Ahmad.
Harimau Malaya dijadual menghadapi China pada 14 November sebelum bertemu Yaman tiga hari kemudian di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.
Dua perlawanan tersebut bakal menjadi ujian penting buat Cheng Hoe dalam usaha mengekalkan prestasi skuad negara walaupun berdepan perubahan besar dalam senarai pemain.