SUKAN

TERKINI : Keputusan aksi JDT berdepan Finalis Musim Lalu di ASEAN Shopee Cup

Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Công An Hà Nội (CAHN) dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026/2027 berlangsung penuh dramatik apabila kedua-dua pasukan mempamerkan persaingan sengit di Stadium Hàng Đẫy, malam ini.

JDT yang hadir sebagai pendahulu kumpulan berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas juara liga utama Vietnam itu, sekali gus meneruskan rekod kemenangan dalam pertandingan berkenaan.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan terpaksa melalui separuh masa pertama yang mencabar apabila tuan rumah membuka jaringan seawal minit keempat.

Gol pembukaan terhasil selepas pemain tengah JDT, Nené, tertampan bola ke dalam gawang sendiri ketika cuba menghalang gerakan penyerang CAHN, Brayan Perea.

Jaringan tersebut memberikan kelebihan awal kepada pasukan kendalian Mano Pölking yang terus meningkatkan tekanan bagi mendapatkan gol kedua.

Pada minit ke-15, percubaan Alan Grafite hampir menggandakan kedudukan, namun bola terkena tiang gol ketika penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, gagal menghalang arah rembatan.

CAHN terus mencipta peluang menerusi beberapa gerakan serangan yang menyaksikan pertahanan Harimau Selatan terpaksa bekerja keras mengekang tekanan tuan rumah.

Perea sekali lagi hampir menambah jaringan pada minit ke-29 apabila rembatan derasnya terkena tiang gol, sekali gus menyelamatkan JDT daripada terus ketinggalan.

Situasi tersebut mendorong pengendali JDT, Xisco Muñoz melakukan tiga pertukaran pemain sebelum minit ke-30 bagi memperbaiki prestasi pasukannya.

Bagaimanapun, CAHN berjaya mengekalkan kelebihan satu gol sehingga wisel tamat separuh masa pertama.

JDT kembali daripada bilik persalinan dengan pendekatan lebih agresif dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Oscar Arribas menjadi watak penting apabila rembatan lencongnya dari luar kawasan penalti gagal diselamatkan penjaga gol CAHN, Nguyễn Filip.

Sepuluh minit kemudian, Harimau Selatan melengkapkan kebangkitan apabila Marcos Guilherme menyudahkan gerakan serangan balas yang dimulakan Jairo untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Ketinggalan satu gol memaksa CAHN melakukan beberapa perubahan bagi meningkatkan kekuatan serangan, termasuk membawa masuk Nguyễn Quang Hải pada minit ke-64.

Bagaimanapun, pasukan Vietnam itu terus berdepan masalah penyudah apabila Alan sekali lagi menyaksikan percubaannya terkena tiang gol pada minit ke-82.

Ketika tuan rumah meningkatkan usaha mencari jaringan penyamaan, JDT memanfaatkan ruang yang ditinggalkan pertahanan lawan untuk mendapatkan gol ketiga.

Arribas melengkapkan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-86 selepas menerima hantaran Jairo sebelum menewaskan Nguyễn Filip.

CAHN hampir mengurangkan defisit menerusi Quang Hải pada masa kecederaan, namun jaringan berkenaan dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Perea berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat permainan, sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua berturut-turut kepada JDT dalam kempen Shopee Cup musim ini.

Harimau Selatan kini mengumpul enam mata daripada dua perlawanan selepas terlebih dahulu menewaskan PKR Svay Rieng dari Kemboja dengan keputusan 6-0 pada Oktober lalu.