Harimau Malaya berkemungkinan besar akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025 sebagai salah satu pasukan jemputan, dalam usaha memperkemas persiapan menghadapi Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Penyertaan dalam kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September itu dijangka memberi ruang terbaik buat skuad negara mendapatkan pendedahan berkualiti sebelum memasuki fasa penting kelayakan.
Antara tarikan utama kejohanan ini adalah pertemuan menentang pasukan ranking ke-18 dunia, Iran – satu ujian yang pasti menguji kredibiliti anak buah Peter Cklamovski. Peluang menentang gergasi Asia itu dianggap amat bermakna buat Harimau Malaya yang kini sedang giat membina skuad mantap menjelang kempen kelayakan besar akan datang.
Selain Iran, pasukan-pasukan lain yang dijangka menyertai CAFA 2025 termasuk Uzbekistan (ranking 57), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142), Afghanistan (160) serta dua pasukan jemputan – Malaysia dan Oman (77).
Sebelum ini, Russia telah disenaraikan antara pasukan yang akan bertanding, namun mereka menarik diri, sekali gus memberi laluan kepada Malaysia sebagai wakil tunggal Asia Tenggara.
Kejohanan ini dilihat sebagai medan terbaik buat skuad kebangsaan menguji kekuatan sebenar selepas mencatat kemenangan bergaya ke atas Nepal dan Vietnam, serta satu keputusan seri menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam aksi persahabatan Tier 1.
Malaysia kini berada dalam prestasi terbaik selepas menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Prestasi ini menjadi indikasi bahawa skuad kebangsaan mampu memberi saingan setara di pentas lebih tinggi.
Aksi di Piala Negara-Negara CAFA 2025 bukan sahaja menjadi platform berguna dalam persiapan skuad negara, malah memberi peluang besar untuk Harimau Malaya mengukur kemampuan mereka menentang pasukan elit seperti Iran, yang menjadi antara pencabar utama di benua Asia.