Cheng Long

Legenda badminton China, Chen Long, menyifatkan dirinya bertuah kerana dilahirkan dan membina kerjaya dalam era yang sama dengan dua ikon badminton dunia, Lin Dan dan Lee Chong Wei. Menurutnya, kehadiran dua figura besar itu bukan sahaja menjadi pencabar utamanya di gelanggang, tetapi juga sumber inspirasi dalam membentuk kariernya sebagai antara pemain perseorangan lelaki terbaik dalam sejarah sukan tersebut.

“Saya ditakdirkan untuk dilahirkan pada era ini. Dengan kehadiran Lin Dan dan Lee Chong Wei, saya masih melihat diri saya sebagai junior mencabar senior saya. Mereka juga contoh teladan yang sempurna kepada saya,” kata Chen Long dalam wawancara bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) susulan pelantikannya ke Dewan Kemasyhuran BWF pada tahun lalu.

Chen Long menegaskan, kehadiran Lin Dan dari negaranya sendiri dan Lee Chong Wei dari Malaysia dalam era yang sama menjadikan persaingan dalam sukan badminton lebih sengit tetapi sangat bermakna. Bagi Chen, ia memaksa dirinya untuk mencapai tahap permainan tertinggi dan meletakkan standard peribadi yang lebih tinggi setiap kali beraksi.

“Saya hanya boleh menjadi diri yang terbaik mengikut kemampuan saya. Setelah memenangi pingat emas Olimpik, saya rasa saya telah melakukannya dengan baik,” tambahnya.

Bagi peminat sukan badminton, nama Chen Long tidak asing lagi. Selama lebih daripada satu dekad, beliau bersama Lin Dan dan Lee Chong Wei mendominasi arena badminton dunia. Ketiga-tiganya berjaya meraih hampir semua kejuaraan utama termasuk kejohanan dunia, Terbuka Super Siri, serta temasya Olimpik.

Meskipun tumpuan sering diberikan kepada persaingan epik antara Lin Dan dan Lee Chong Wei, Chen Long secara perlahan tetapi konsisten membina legasinya sendiri. Dengan pendekatan yang lebih tenang dan sederhana, beliau dikenali sebagai pemain yang berdisiplin tinggi dan memiliki keupayaan taktikal yang luar biasa.

Kehebatan Chen Long terserlah apabila beliau mencatat pencapaian yang tiada tandingan – memenangi tiga jenis pingat Olimpik dalam tempoh lapan tahun. Bermula dengan gangsa di Olimpik London 2012, beliau mengejutkan dunia apabila berjaya menewaskan Lee Chong Wei dalam perlawanan akhir Sukan Olimpik Rio 2016, sekaligus menghadiahkan emas kepada China. Karier gemilangnya di pentas Olimpik ditutup dengan satu lagi pencapaian hebat, meraih perak di Olimpik Tokyo 2020.

Selain itu, Chen Long turut dikenang kerana kejayaannya menewaskan Lee dalam dua perlawanan akhir berturut-turut di Kejohanan Dunia BWF pada tahun 2014 dan 2015. Kejayaan tersebut bukan sahaja membuktikan kematangannya sebagai pemain, tetapi juga keupayaannya untuk tampil cemerlang ketika berdepan tekanan tinggi di pentas antarabangsa.

“Walaupun amat dikesali Lee gagal memenangi kejuaraan utama, sikapnya yang tidak pernah berkata-kata terhadap setiap perlawanan serta keinginannya untuk menang adalah perkara yang harus kita pelajari,” ujar Chen, memuji profesionalisme dan dedikasi abadi Lee Chong Wei dalam dunia badminton.

Sebagai pemain yang pernah bertemu Lee sebanyak 28 kali, Chen Long berjaya meraih kemenangan dalam 13 perlawanan manakala selebihnya berpihak kepada pemain Malaysia itu yang mencatat 15 kemenangan. Sementara itu, menentang Lin Dan, Chen berjaya mencatatkan tujuh kemenangan daripada 16 pertemuan – angka yang turut menunjukkan betapa kompetitifnya era tersebut.

Chen turut berkongsi bahawa semasa beraksi menentang Lin Dan atau Lee Chong Wei, beliau sentiasa menanam tekad untuk mengalahkan mereka kerana itu sahaja cara untuk membuktikan dirinya setanding atau mungkin lebih baik. “Lin sentiasa bermain dengan baik, dan saya mahu menjadi seperti dia. Apabila saya menentang mereka, saya memberitahu diri saya saya mesti mengalahkan mereka atau memanfaatkan sebarang peluang. Saya mahu menjadi pasukan ketiga,” katanya dengan jujur.

Kini, selepas bersara secara rasmi daripada arena kompetitif, Chen Long terus aktif dalam komuniti sukan di China. Beliau terlibat dalam program pembangunan bakat baharu, serta menjadi duta kepada beberapa kempen sukan dan pendidikan. Penganugerahan ke Dewan Kemasyhuran BWF dianggap sebagai penghormatan tertinggi kepada pencapaian cemerlangnya sepanjang lebih 15 tahun mengharumkan nama negaranya di persada dunia.

Kisah Chen Long, Lin Dan dan Lee Chong Wei akan terus dikenang sebagai era kegemilangan badminton dunia. Tiga nama besar ini bukan sahaja membawa pulang pingat dan trofi, tetapi mereka juga membawa semangat sukan sejati yang menjadi inspirasi kepada generasi baru pemain di seluruh dunia.