Liga Super Malaysia

KUALA LUMPUR – Liga Super Malaysia menerima tamparan hebat apabila tiga pasukan lagenda iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Perak FC dan Sri Pahang FC mengesahkan bahawa mereka tidak akan bersaing dalam saingan utama musim hadapan. Keputusan itu sekali gus menyaksikan kehilangan besar dari segi sejarah, sokongan penyokong serta kekuatan saingan liga tempatan.

Kehilangan tiga pasukan utama yang dikenali dengan sejarah dan penyokong fanatik mereka menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak, termasuk pemerhati bola sepak tanah air. Menurut Azlan Johar, pemerhati sukan yang lama mengikuti perkembangan bola sepak tempatan, perkara ini disifatkan sebagai satu kegagalan dalam mengekalkan kelestarian kelab-kelab tradisi dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

“Ini sangat kritikal dan menyedihkan. Ketika liga di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand semakin berkembang, kita pula seolah-olah berundur ke belakang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau menambah bahawa kehilangan Sri Pahang, Kedah dan Perak bukan sekadar menjejaskan bilangan pasukan dalam liga, tetapi turut menjejaskan nilai dan identiti bola sepak negara. Ketiga-tiga pasukan ini bukan sekadar kelab bola sepak biasa, malah sudah menjadi institusi yang mewakili semangat dan warisan bola sepak negeri masing-masing.

“Bayangkan saja bila tiga nama besar ini tiada iaitu Sri Pahang, Kedah, Perak. Itu bukan sahaja hilangnya saingan, tapi juga hilangnya identiti bola sepak Malaysia,” jelas Azlan lagi.

Menurut beliau, kesan daripada penarikan pasukan-pasukan ini akan menyebabkan penglibatan penyokong semakin berkurangan. Ramai antara mereka sudah mula menunjukkan rasa kecewa dan tawar hati untuk terus memberi sokongan kepada liga domestik.

“Saya sudah lihat ramai penyokong hilang minat. Mereka tidak mahu ke stadium lagi, tidak menonton di TV pun. Ini bukan soal kalah menang, tapi soal ‘jiwa’ bola sepak kita yang kian mati,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyelar pengurusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menurutnya tidak cukup proaktif dalam menangani isu struktur kewangan dan pengurusan kelab.

“Sepatutnya ada pelan jangka panjang, ada penstrukturan semula kewangan kelab, bukan biar mati perlahan-lahan. Apa fungsi MFL kalau pasukan seperti Kedah dan Perak boleh hilang begitu saja?” soalnya dengan nada kesal.

Azlan turut memberi amaran bahawa situasi ini jika dibiarkan berlarutan akan memberi impak negatif terhadap keseluruhan ekosistem bola sepak negara. Beliau bimbang dalam tempoh beberapa tahun akan datang, liga bola sepak Malaysia akan berdepan dengan krisis penyokong yang semakin menjauh.

“Jangan terkejut kalau 2-3 tahun lagi, kita tengok liga ini kosong. Bukan sebab tiada pasukan, tapi kerana penyokong sudah hilang harapan dan kecewa,” katanya lagi.

Untuk rekod, Sri Pahang FC sebelum ini mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam musim baharu saingan profesional bola sepak negara. Pengumuman itu disusuli dengan dua lagi pasukan lagenda iaitu Kedah Darul Aman FC dan Perak FC yang tidak akan menyertai Liga Super selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan daripada pihak MFL.

Situasi ini menjadi petunjuk jelas bahawa sistem semasa perlu diteliti semula. Banyak pihak menggesa agar FAM dan MFL memperkenalkan semula pelan penstrukturan yang lebih telus dan sistematik untuk memastikan kelangsungan pasukan bersejarah ini.

Kehilangan tiga pasukan besar ini turut memberi kesan kepada aspek komersial liga. Kehadiran penyokong, tajaan serta hak penyiaran dijangka terjejas akibat penurunan minat terhadap saingan liga. Di samping itu, peluang pemain-pemain muda untuk menonjol juga berkurangan kerana kekurangan pasukan untuk menyertai saingan elit bola sepak negara.

Sebahagian besar penyokong Kedah, Perak dan Pahang menyuarakan rasa tidak puas hati melalui media sosial, menyeru agar pihak pengurusan negeri dan kelab campur tangan segera dalam menyelamatkan maruah bola sepak negeri masing-masing.

Dalam situasi yang mencabar ini, masih ada harapan jika semua pihak bekerjasama untuk mencari penyelesaian tuntas. Liga Super Malaysia memerlukan reformasi menyeluruh untuk mengembalikan semula daya tarikan dan reputasi yang pernah dibanggakan suatu ketika dahulu.

Tanpa Sri Pahang, Kedah dan Perak, Liga Super akan kehilangan lebih daripada sekadar pasukan. Ia kehilangan identiti, warisan dan sebahagian daripada jiwa bola sepak tanah air.