SUKAN

Shi Yu Qi ‘dalang’ Utama

Kejayaan China mempertahankan kejuaraan Piala Thomas 2026 disifatkan sebagai hasil kekuatan kolektif pasukan yang dipacu oleh kepimpinan mantap Shi Yu Qi. Dalam aksi final yang berlangsung di Forum Horsens, China menewaskan Perancis 3-1 untuk merangkul gelaran ke-12 mereka.

Pemain beregu lelaki, He Ji Ting, menegaskan bahawa pengorbanan dan semangat juang Yu Qi menjadi faktor utama yang mengukuhkan moral pasukan sepanjang perlawanan akhir tersebut. Walaupun berdepan masalah kesihatan, Yu Qi tetap turun beraksi dan mempamerkan tahap daya tahan yang tinggi.

“Yu Qi berdepan cabaran yang amat besar. Dengan keadaan fizikalnya, dia mengalami gastroenteritis dan tidak sihat selain berada di bawah tekanan tinggi, tetapi dia tetap berjuang hingga ke akhir.

“Sebagai anggota pasukan dan ketua, dia memainkan peranan penting sebagai penstabil pasukan,” katanya.

Perlawanan pertama menjadi titik penting dalam menentukan hala tuju perlawanan apabila Yu Qi berdepan Christo Popov. Dalam aksi yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental, Yu Qi berjaya mengatasi tekanan untuk mencatat kemenangan 21-16, 16-21, 21-17 selepas pertarungan selama 85 minit.

Perancis tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Alex Lanier mengemudi kebangkitan pasukan. Dengan permainan yang lebih agresif dan konsisten, Lanier menewaskan Li Shi Feng 21-13, 21-10, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Situasi kembali memihak kepada China apabila Weng Hong Yang tampil dengan aksi yang penuh disiplin dalam perlawanan ketiga. Menentang Toma Junior Popov, Weng mempamerkan keupayaan taktikal yang tinggi dalam perlawanan panjang selama 96 minit sebelum menang 22-20, 20-22, 21-19.

Kelebihan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh beregu lelaki China, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu, yang turun dengan misi menamatkan saingan. Mereka mengawal permainan dengan baik, mengekalkan tekanan terhadap lawan dan akhirnya menewaskan Eloi Adam-Leo Rossi 21-13, 21-16 untuk memastikan kemenangan China.

Ji Ting menjelaskan bahawa keupayaan pasukan untuk kekal tenang dalam situasi kritikal menjadi pembeza utama dalam perlawanan tersebut. Beliau percaya bahawa kombinasi pengalaman dan disiplin taktikal membolehkan China mengatasi tentangan sengit Perancis.

Dalam pada itu, pemain Perancis, Toma Junior Popov, tetap berbangga dengan pencapaian pasukannya walaupun gagal mencipta sejarah.

“Benar-benar menakjubkan. Pasukan bangga dengan pencapaian ini. Kami berjuang dan mungkin layak mendapat lebih daripada itu, tetapi kami menunjukkan semangat juang hebat di gelanggang. Ia memang gila,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman beraksi di pentas final akan memberikan impak positif kepada perkembangan pasukan Perancis pada masa depan.