SUKAN

Ubi Muda Malaysia mula tuai hasil

KUALA LUMPUR — Hasil penstrukturan semula Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) kini mula menampakkan impak apabila skuad muda negara berjaya mencatat keputusan memberangsangkan dalam saingan serantau, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap hala tuju baharu program tersebut.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, menyifatkan pencapaian skuad bawah 16 tahun (B-16) yang muncul naib juara Kejohanan ASEAN Bawah 17 Tahun (B-17) 2026 sebagai petunjuk jelas bahawa perubahan yang dilakukan mula memberi kesan positif.

Menurutnya, penglibatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mengendalikan aspek teknikal menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan kualiti pembangunan pemain muda negara.

“Untuk NFDP sebagaimana kita telah pun umumkan tahun lepas bahawa semua aspek teknikal akan dikendalikan daripada pihak FAM. Kita lihat sudah ada bibit kejayaan apabila dalam kejohanan bawah 17 tahun tempoh hari kita mendapat naib juara.

“Jadi ini adalah perubahan kecil yang kita lakukan supaya kita dapat memastikan pemain NFDP dapat digarap untuk kejayaan lebih besar akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini pada Isnin.

Penyusunan semula struktur NFDP memberi penekanan kepada pembangunan pemain secara lebih terarah, khususnya dalam aspek taktikal dan pemahaman permainan yang semakin kompleks di peringkat kompetitif.

Pencapaian mara ke final kejohanan tersebut menunjukkan bahawa pemain muda negara mampu menyesuaikan diri dengan tekanan perlawanan serta mengekalkan tahap permainan yang konsisten sepanjang kejohanan berlangsung.

Walaupun tewas 0-3 kepada Vietnam dalam perlawanan akhir, pencapaian sebagai naib juara tetap memberikan gambaran bahawa skuad negara berada pada landasan perkembangan yang positif.

Perlawanan akhir tersebut turut memperlihatkan cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh pemain muda negara dalam usaha meningkatkan daya saing di peringkat lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, Jefri menegaskan bahawa pengurusan peruntukan kerajaan akan terus diberi perhatian bagi memastikan setiap aspek pembangunan dapat dilaksanakan secara efektif.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada keperluan jurulatih, pembangunan atlet serta sistem pemantauan prestasi yang komprehensif bagi memastikan setiap pemain dapat mencapai potensi maksimum.

Pendekatan ini dilihat penting dalam memastikan kesinambungan program pembangunan tidak terjejas, selain memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua pihak terlibat dalam ekosistem bola sepak negara.

Secara keseluruhannya, pencapaian skuad B-16 di pentas ASEAN menjadi bukti awal bahawa penstrukturan semula NFDP mula memberikan hasil, walaupun proses pembangunan masih memerlukan masa dan komitmen berterusan.

Dengan pendekatan yang lebih tersusun dan fokus terhadap aspek teknikal, program ini dijangka terus menjadi asas penting dalam melahirkan pemain berkualiti tinggi untuk masa depan bola sepak negara.