SUKAN

Ada aduan terhadap Chong Wei

Langkah tegas yang diperkenalkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei bagi memperkukuhkan disiplin di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dilihat mula menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir pemain kebangsaan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mendedahkan terdapat pemain yang mengambil langkah bertemu Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendekatan lebih ketat yang sedang dilaksanakan di ABM.

Namun begitu, Chong Wei menegaskan beliau tidak akan berganjak daripada pendiriannya kerana percaya disiplin merupakan elemen paling asas dalam usaha membentuk pemain bertaraf dunia yang mampu bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa.

Bercakap kepada BH Sukan, beliau mengakui perubahan yang dibawa pengurusan baharu mungkin menyebabkan ramai pihak berasa tidak selesa, terutama apabila beberapa peraturan mula diperketatkan dalam usaha memperkukuhkan budaya profesional dalam skuad kebangsaan.

“Mungkin sekarang ramai yang tidak selesa sebab kita ada pengurusan baharu dan banyak perkara diperketatkan.

“Saya tahu beberapa bulan ini memang susah, ada orang tidak suka, ada yang mengadu dan ada pemain jumpa presiden. Tidak mengapa, teruskan.

“Presiden tahu apa yang jawatankuasa dan saya lakukan. Apa yang saya buat pun saya akan laporkan kepada presiden,” katanya.

Kenyataan itu memperlihatkan ketegasan Chong Wei dalam mempertahankan pendekatan disiplin yang sedang dibawa ketika BAM berusaha memperbaiki semula struktur dan budaya dalam kem badminton negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha memperkukuhkan disiplin bukan sesuatu yang mampu memberikan hasil segera, sebaliknya memerlukan masa dan kesabaran sebelum kesannya dapat dilihat menerusi peningkatan prestasi pemain di gelanggang antarabangsa.

Menurutnya, badminton moden menuntut tahap komitmen tinggi bukan sahaja daripada aspek teknikal dan taktikal, malah disiplin harian yang konsisten dalam latihan serta kehidupan pemain.

“Kita tahu badminton ini perlukan masa. Bukan satu dua hari, satu dua bulan atau setahun terus nampak hasil.

“Tetapi yang penting pemain kena ada disiplin dahulu, selepas itu keputusan akan datang secara perlahan-lahan,” katanya.

Dalam usaha memperkasakan semula budaya disiplin di ABM, BAM ketika ini mengetatkan beberapa peraturan termasuk mewajibkan semua pemain yang belum berkahwin tinggal di asrama akademi berkenaan.

Pendekatan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kawalan disiplin pemain dapat dipantau dengan lebih rapi selain membentuk persekitaran latihan yang lebih profesional dan tersusun.

Sebelum ini, pada 25 November tahun lalu, BH Sukan melaporkan Chong Wei sudah memberi bayangan bahawa BAM akan menguatkuasakan semula peraturan tersebut sebagai langkah membentuk budaya kerja lebih profesional dalam kalangan pemain negara.

Perkembangan itu hadir pada waktu skuad badminton negara sedang melalui tempoh mencabar selepas kempen Piala Thomas di Horsens, Denmark bulan lalu berakhir dengan kekecewaan apabila Malaysia terkandas di peringkat suku akhir.

Kegagalan itu sekali lagi membuka perbincangan mengenai aspek disiplin dan tahap konsistensi pemain dalam menghadapi tekanan kejohanan besar di peringkat antarabangsa.

Susulan keputusan tersebut, Chong Wei kembali menegaskan bahawa isu disiplin tidak boleh dipandang ringan sekiranya Malaysia mahu kembali menjadi pencabar utama dalam badminton dunia.

Beliau percaya kejayaan di peringkat tertinggi tidak hanya bergantung kepada bakat dan kemampuan teknikal semata-mata, sebaliknya memerlukan pengorbanan besar serta pematuhan ketat terhadap sistem yang dibina pasukan pengurusan.

Semalam, Tengku Zafrul turut memberi bayangan bahawa pemain badminton negara boleh dikenakan tindakan lebih keras termasuk penggantungan daripada menyertai kejohanan sekiranya didapati melanggar peraturan dan disiplin yang ditetapkan BAM.

Kenyataan itu secara tidak langsung memperlihatkan sokongan penuh presiden BAM terhadap langkah yang sedang dilaksanakan Chong Wei dan jawatankuasa prestasi badan induk berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai reaksi segelintir pemain terhadap pendekatan tersebut, Chong Wei mengakui beliau sedar bukan semua pihak akan bersetuju dengan tindakan yang diambil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu dibuat demi kepentingan jangka panjang badminton negara dan bukannya untuk memenuhi kehendak individu tertentu.

“Saya tidak boleh buat satu benda yang semua orang suka. Yang penting adalah untuk negara dan juga badminton Malaysia,” katanya.