Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui Thailand muncul sebagai pencabar paling mantap pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 apabila pasukan itu dilihat memiliki keseimbangan terbaik menerusi gabungan pemain muda dan senior.
Beliau berkata, perkembangan positif dipamerkan skuad Thailand menyebabkan barisan kejurulatihan negara perlu memberi perhatian lebih serius terhadap kekuatan musuh tradisi itu sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurut Ahmad Jais, kestabilan dipamerkan Thailand ketika ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil proses pembentukan skuad yang dilihat sudah menjurus kepada persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya tahun ini.
“Kalau kita tengok barisan pemain Thailand, mereka memang mengadunkan pemain muda dan senior.
“Mungkin ini proses terbaik untuk mereka membuat pemilihan bagi persiapan ke Sukan Asia,” katanya.
Beliau menjelaskan, keseimbangan antara pengalaman pemain senior dan tenaga pemain muda memberi kelebihan besar kepada Thailand terutama dalam aspek konsistensi permainan serta kemampuan mengawal tekanan di gelanggang.
Situasi itu juga menjadikan skuad negara tidak boleh mengambil mudah cabaran yang dibawa pasukan berkenaan sepanjang saingan Piala Dunia kali ini.
Dalam masa sama, Ahmad Jais berkata, pasukan kejurulatihan negara sudah memulakan proses pemantauan sejak hari pertama kejohanan bagi mengenal pasti corak permainan lawan termasuk Thailand.
Katanya, pemerhatian secara terperinci itu penting untuk membolehkan skuad negara melakukan penyesuaian taktikal serta menyediakan perancangan lebih tepat menjelang kejohanan lebih besar selepas ini.
“Kita memang dari hari pertama melihat sedikit sebanyak kekuatan pasukan Thailand dan pasukan lain untuk membuat sedikit kerja rumah,” katanya.
Menurut beliau, proses pemantauan itu bukan sekadar melihat keputusan perlawanan semata-mata, sebaliknya turut memberi fokus kepada aspek kestabilan permainan, ketahanan mental serta keupayaan sesebuah pasukan mengendalikan situasi kritikal ketika perlawanan berlangsung.
Ahmad Jais turut mengakui status Malaysia sebagai tuan rumah memberikan cabaran tersendiri kepada pemain negara, khususnya dari sudut keyakinan dan tekanan ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Katanya, tekanan itu perlu ditangani segera supaya pemain dapat tampil lebih yakin dan tidak berasa kekok ketika berada di gelanggang.
“Kita sebagai tuan rumah memang ada sedikit tekanan kepada pemain-pemain kita. Itu yang perlu kita selesaikan cepat supaya mereka tidak kekok dan terus bersemangat untuk mempamerkan prestasi terbaik,” katanya.
Beliau melihat aspek psikologi pemain menjadi antara elemen penting yang perlu diberi perhatian kerana kejohanan besar seperti Piala Dunia menuntut tahap fokus dan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan.
Selain persaingan sengit di gelanggang, pemain juga perlu menyesuaikan diri dengan tekanan harapan penyokong yang mahu melihat skuad negara tampil cemerlang sebagai tuan rumah.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Jais menjelaskan skuad negara ketika ini masih berada dalam proses penilaian bagi menentukan kombinasi terbaik menghadapi Sukan Asia nanti.
Menurutnya, barisan kejurulatihan mahu memastikan setiap pemain yang dipilih benar-benar berada pada tahap terbaik sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
Katanya, pemain yang tidak beraksi pada Piala Dunia kali ini masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan mereka menerusi Kejohanan Piala Raja Thai.
Pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan persaingan sihat terus wujud dalam pasukan selain memberi ruang kepada pemain lain memperlihatkan kemampuan sebenar mereka di pentas antarabangsa.
Ahmad Jais berkata, keputusan akhir hanya akan dibuat selepas semua proses penilaian selesai dilakukan termasuk melihat tahap keserasian, prestasi semasa serta kemampuan pemain menghadapi tekanan perlawanan kompetitif.
Beliau mahu skuad negara tampil dengan kombinasi paling seimbang dan stabil bagi memastikan cabaran Malaysia pada Sukan Asia nanti berada pada tahap terbaik.