SUKAN

Nama Arif Aiman ‘meletop’ sampai ke Eropah

Kevin Diks Puji Arif Aiman, Percaya Bintang JDT Mampu Berjaya Di Eropah

Kehebatan Arif Aiman Hanapi terus mendapat pengiktirafan apabila pertahanan Borussia Monchengladbach, Kevin Diks, percaya bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mempunyai kemampuan untuk mencipta kejayaan sekiranya mendapat peluang beraksi di Eropah.

Pemain antarabangsa Indonesia itu memberikan penilaian tinggi terhadap Arif selepas berdepan sendiri dengan pemain sayap Harimau Malaya berkenaan dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 baru-baru ini.

Menurut Diks, kualiti dimiliki Arif cukup jelas ketika berada di atas padang sehingga membuatkannya melihat pemain berusia 24 tahun itu sebagai antara bakat yang mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Dia memang pemain yang sangat bagus. Saya difahamkan dia bermain di JDT, jika saya tidak silap.

“Saya rasa dia seorang pemain yang sangat bagus dan berpotensi untuk mencipta kejayaan di Eropah,” katanya.

Pujian daripada pemain yang beraksi dalam bola sepak Eropah itu membawa nilai tersendiri buat Arif yang terus menjadi antara tonggak utama JDT dan Harimau Malaya.

Diks bukan sekadar memberikan pandangan berdasarkan reputasi, sebaliknya mempunyai pengalaman berdepan sendiri dengan Arif ketika Malaysia dan Indonesia bertemu dalam Piala ASEAN FIFA.

Dalam temu bual sama, pertahanan Indonesia itu turut memilih Arif sebagai antara pemain paling sukar dihadapinya sepanjang kejohanan tersebut.

Situasi itu menggambarkan tahap ancaman yang mampu diberikan Arif apabila berdepan pertahanan berkualiti.

Keupayaannya melakukan larian pantas, berdepan lawan secara satu lawan satu serta mencipta ruang dari bahagian sayap antara elemen yang menjadikan pemain JDT itu sentiasa memerlukan perhatian khusus.

Ketika Malaysia seri tanpa jaringan menentang Indonesia dalam saingan kumpulan, Arif juga menerima perhatian ketat daripada barisan pertahanan lawan.

Pengendali Indonesia ketika itu turut menjelaskan bahawa struktur pertahanan pasukannya perlu berubah apabila berdepan pemain berbahaya seperti Arif, termasuk memberikan sokongan tambahan di bahagian tepi.

Bagaimanapun, Diks berpandangan peluang untuk melihat Arif berhijrah ke Eropah mungkin bergantung kepada keputusan pemain itu sendiri.

“Tetapi berdasarkan apa yang saya faham, dia mungkin akan kekal di Malaysia kerana dia suka bermain di sana,” katanya.

Arif ketika ini terus menjadi antara watak penting JDT dalam saingan domestik dan antarabangsa, selain menjadi sandaran Harimau Malaya.

Pengiktirafan daripada Diks sekali lagi menunjukkan kualiti Arif bukan hanya mendapat perhatian dalam negara.

Apabila seorang pertahanan yang beraksi di Bundesliga sendiri melihatnya sebagai pemain yang mampu mencipta kejayaan di Eropah, ia menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap tahap permainan yang sudah dicapai bintang Harimau Malaya itu.