SUKAN

TERKINI : Kejutan besar! Prajanchai diaibkan

Kejutan besar berlaku di pentas ONE Championship apabila jaguh China, Wang Junguang, menewaskan juara dunia ONE Strawweight Muay Thai, Prajanchai Pongsuphan PK, menerusi keputusan berbelah bahagi dalam aksi kickboxing di Bangkok.

Pertarungan strawweight itu menjadi aksi utama The Inner Circle 35 di Lumpinee Stadium dan berakhir dengan kemenangan Wang selepas tiga pusingan sengit.

Keputusan tersebut sekali gus mencemari kepulangan Prajanchai ke gelanggang kickboxing selepas kira-kira setahun tidak beraksi.

Prajanchai kali terakhir bertanding dalam disiplin itu apabila kehilangan gelaran ONE Strawweight Kickboxing kepada Jonathan Di Bella menerusi keputusan sebulat suara pada Oktober tahun lalu sebelum menjalani pembedahan dan berehat panjang.

Namun, kepulangannya tidak berjalan seperti dirancang.

Wang yang membuat penampilan pertama dalam ONE selepas hampir enam tahun tampil agresif sejak loceng pertama dengan gerakan kaki yang sukar dijangka dan tendangan hadapan untuk memaksa Prajanchai berada dalam tekanan.

Prajanchai cuba memberikan tindak balas menerusi kombinasi tumbukan serta tendangan badan, tetapi Wang terus mara dan tidak membenarkan juara dunia Muay Thai itu mengawal sepenuhnya tempo pertarungan.

Aksi kekal sengit pada pusingan kedua apabila Prajanchai meningkatkan serangan menerusi pukulan kiri dan tendangan badan.

Wang bagaimanapun tidak mengendurkan tekanan dan terus membalas menerusi tumbukan kanan serta kombinasi pantas.

Memasuki pusingan terakhir, kedua-dua petarung terus bertukar serangan dalam pertarungan yang cukup rapat.

Wang banyak memberikan tekanan menerusi serangan ke badan dan lutut, sementara Prajanchai cuba mencipta jarak menggunakan tumbukan lurus.

Selepas tiga pusingan, keputusan akhirnya diserahkan kepada juri dan kemenangan diberikan kepada Wang menerusi split decision.

Ia merupakan keputusan cukup besar buat petarung China berusia 31 tahun itu.

Wang pernah mencabar gelaran sulung ONE Strawweight Kickboxing menentang Sam-A Gaiyanghadao pada 2019 tetapi tewas menerusi keputusan sebulat suara.

Dia kemudian kalah tipis secara split decision kepada Aslanbek Zikreev pada 2020 sebelum meninggalkan pentas ONE selama hampir enam tahun.

Kemenangan ke atas Prajanchai melonjakkan rekod profesional Wang kepada 31 kemenangan dan tujuh kekalahan serta kembali meletakkan namanya dalam persaingan divisyen kickboxing strawweight.

Bagi Prajanchai pula, kekalahan tersebut menjadi permulaan mengecewakan dalam usahanya kembali memburu kejayaan dalam dua disiplin.

Dia masih memegang gelaran dunia ONE Strawweight Muay Thai, tetapi kepulangan ke kickboxing kali ini berakhir dengan kejutan apabila Wang membuktikan bahawa tempoh panjang di luar pentas ONE tidak menghalangnya menewaskan salah seorang nama terbesar dalam divisyen itu.