Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengakui perubahan taktikal yang dilakukan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto menjadi antara faktor utama kekalahan mereka dalam final Terbuka Perancis 2026, semalam.
Pasangan ranking keempat dunia itu terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas 21-10, 17-21, 16-21 kepada gandingan pilihan utama kejohanan yang menghuni ranking ketiga dunia di Arena Grand Paris.
Thinaah menjelaskan bahawa pasangan negara sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik, namun gagal mengekalkan penguasaan selepas lawan mengubah pendekatan permainan pada set kedua.
Menurutnya, persaingan pada awal set kedua berlangsung sengit sehingga kedudukan terikat 7-7 sebelum Fukushima-Matsumoto mula meningkatkan tekanan menerusi corak serangan lebih agresif.
Perubahan itu membolehkan pasangan Jepun membina kelebihan mata yang akhirnya menyukarkan Pearly-Thinaah untuk kembali menguasai permainan.
“Strategi itu membolehkan mereka mendahului kami dengan jurang mata yang agak selesa. Di penghujung set, kami cuba mengejar, tetapi saya rasa jurang mata pada awal permainan sudah terlalu jauh. Saya fikir kelebihan itu juga meningkatkan keyakinan mereka,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Fukushima-Matsumoto memanfaatkan serangan balas serta pukulan jauh untuk memberikan tekanan kepada pasangan Malaysia sebelum mendahului 11-7 ketika rehat set kedua.
Pasangan Jepun turut memperlihatkan kelebihan dalam pertukaran pukulan panjang, termasuk satu pertarungan yang menyaksikan kedua-dua pasangan melakukan 77 pukulan ketika kedudukan 17-12.
Keupayaan mengekalkan tekanan itu akhirnya membolehkan Fukushima-Matsumoto memenangi set kedua 21-17 selepas terlebih dahulu kehilangan set pembukaan dengan keputusan besar 10-21.
Memasuki set penentuan, pasangan Jepun meneruskan momentum apabila mendahului 8-2 sebelum memastikan kemenangan 21-16 untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2025.
Pearly turut bersetuju bahawa lawan mereka mempamerkan prestasi lebih baik pada dua set terakhir, khususnya dari segi ketahanan fizikal dan kepantasan pergerakan.
“Kami tahu bukan mudah untuk menentang mereka hari ini. Jelas sekali, dari segi fizikal, mereka sangat kuat dan masih mampu bergerak pantas walaupun pada set ketiga,” katanya.
Kekalahan tersebut merupakan yang kelima berturut-turut buat Pearly-Thinaah kepada Fukushima-Matsumoto sejak kali terakhir menewaskan gandingan itu pada Masters Jepun, November tahun lalu.
Keputusan itu juga menggagalkan usaha pasangan negara untuk merangkul gelaran ketiga musim ini selepas menjuarai Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Denmark minggu lalu.
Pearly-Thinaah turut terlepas peluang mengulangi kejayaan muncul juara Terbuka Perancis pada 2022, namun tetap membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,250 atau kira-kira RM135,836.
Fukushima-Matsumoto pula menerima AS$70,300 atau sekitar RM287,196 selepas berjaya mempertahankan gelaran beregu wanita kejohanan berstatus Super 750 itu.