SUKAN

TERKINI : Keputusan aksi Final beregu Lelaki di Terbuka Perancis

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melakar kejayaan membanggakan apabila muncul juara Terbuka Perancis 2026 selepas bangkit menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam aksi final penuh dramatik di Arena Grand Paris, malam ini.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu mempamerkan kebangkitan meyakinkan untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 dalam tempoh hanya 44 minit, sekali gus menamatkan penantian 22 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran beregu lelaki kejohanan berprestij tersebut.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Wei Chong-Kai Wun yang turun sebagai pasangan bukan pilihan ketika berdepan Sze Fei-Izzuddin, gandingan ranking kelima dunia merangkap pilihan keenam kejohanan.

Pada set pembukaan, Sze Fei-Izzuddin berada dalam kedudukan lebih baik apabila berjaya menguasai permainan untuk menamatkan saingan dengan kemenangan 21-13.

Keputusan tersebut meletakkan pasangan profesional negara itu di hadapan, sekali gus memberikan tekanan kepada Wei Chong-Kai Wun yang perlu bangkit untuk menghidupkan peluang memburu kejuaraan.

Bagaimanapun, Wei Chong-Kai Wun tidak mudah mengalah apabila memperkemaskan permainan dalam set kedua.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila mereka berjaya mencatat kemenangan 21-15, sekali gus menjadikan kedudukan terikat 1-1 dan memaksa perlawanan diteruskan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, Wei Chong-Kai Wun tampil jauh lebih dominan apabila Sze Fei-Izzuddin gagal mengekalkan rentak seperti yang dipamerkan pada set pembukaan.

Pasangan negara itu hanya membenarkan lawan mereka mengutip tujuh mata sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan besar 21-7 untuk mengesahkan kejuaraan.

Kejayaan tersebut turut membolehkan Wei Chong-Kai Wun membalas kekalahan dalam rekod pertemuan terdahulu apabila Sze Fei-Izzuddin sebelum ini mendahului dengan dua kemenangan daripada tiga perlawanan.

Kemenangan di Perancis menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini terikat dengan dua kemenangan masing-masing.

Lebih penting, Wei Chong-Kai Wun berjaya mengembalikan gelaran beregu lelaki Terbuka Perancis ke pangkuan Malaysia selepas kali terakhir dimenangi Gan Teik Chai-Koo Kien Keat pada edisi 2004.

Perjalanan Wei Chong-Kai Wun ke final kali ini juga memperlihatkan peningkatan prestasi selepas mereka tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark minggu lalu.

Pada pusingan kedua di Perancis, pasangan negara menyingkirkan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 25-23, 21-14 sebelum mara ke separuh akhir susulan penarikan diri Aaron Chia-Soh Wooi Yik akibat kecederaan.

Mereka kemudian mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan pasangan Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-16, 21-15.

Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara turut menikmati kempen memberangsangkan selepas menyingkirkan pasangan nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada suku akhir.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas gandingan Korea Selatan itu gagal diterjemahkan kepada kejuaraan apabila Wei Chong-Kai Wun tampil lebih berkesan dalam dua set terakhir perlawanan akhir.

Kejayaan tersebut memastikan Malaysia menutup kempen Terbuka Perancis 2026 dengan satu gelaran selepas wakil negara dalam kategori beregu wanita dan beregu campuran masing-masing tewas pada final.