BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan kemaraan cemerlang di Terbuka Perancis 2026 apabila menewaskan pasangan Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin untuk mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir kejohanan berstatus Super 750 itu.
Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-11 dunia mempamerkan aksi meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-15 dalam tempoh hanya 34 minit pada aksi separuh akhir di Arena Grand Paris, Perancis.
Kemenangan berkenaan menyaksikan pasangan negara berjaya menamatkan cabaran gandingan muda Indonesia yang sebelum ini menjadi antara pencabar untuk merebut tempat dalam final.
Lebih menarik, Wei Chong-Kai Wun memasuki perlawanan dengan rekod pertemuan yang tidak memihak kepada mereka selepas tewas dalam satu-satunya pertemuan terdahulu menentang Raymond-Joaquin.
Bagaimanapun, rekod tersebut tidak menghalang pasangan Malaysia daripada menghasilkan persembahan lebih berkesan dalam pertembungan kali ini.
Pada set pertama, Wei Chong-Kai Wun berjaya mengawal permainan untuk mengatasi lawan mereka 21-16, sekali gus meletakkan pasangan negara di hadapan.
Momentum positif itu diteruskan pada set kedua apabila mereka sekali lagi memperlihatkan permainan konsisten untuk mengekalkan kelebihan terhadap pasangan Indonesia.
Raymond-Joaquin yang berada di ranking ke-14 dunia gagal mengheret perlawanan ke set penentuan apabila Wei Chong-Kai Wun menamatkan saingan dengan kemenangan 21-15.
Keputusan tersebut turut memadamkan harapan Indonesia untuk menyaksikan kedua-dua wakilnya bertemu sesama sendiri dalam final beregu lelaki, selepas sebelum ini Raymond-Joaquin dan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin berjaya mara ke separuh akhir.
Indonesia sebelum ini mempunyai peluang untuk mencipta final sesama wakil negara mereka sekiranya kedua-dua pasangan berkenaan berjaya memenangi perlawanan masing-masing.
Bagaimanapun, kemenangan Wei Chong-Kai Wun memastikan satu tempat final menjadi milik Malaysia.
Pada pusingan terdahulu, pasangan negara mengatasi wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 25-23, 21-14 pada pusingan kedua sebelum mara daripada suku akhir susulan penarikan diri rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik terpaksa menghentikan permainan ketika Wei Chong-Kai Wun mendahului 5-0 pada set pertama.
Sementara itu, Raymond-Joaquin mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 23-21, 21-18 pada suku akhir.
Kini, Wei Chong-Kai Wun hanya dipisahkan satu kemenangan daripada merangkul gelaran Terbuka Perancis 2026.
Kejayaan itu juga memberikan perkembangan positif buat badminton negara yang turut mempunyai satu lagi wakil dalam separuh akhir beregu lelaki menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Sze Fei-Izzuddin dijadualkan menentang satu lagi pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, dengan kemenangan bakal memastikan final menemukan dua wakil Malaysia.