SUKAN

TERKINI :Keputusan aksi Pearly-Thinaah di penentuan ke Separuh Akhir Terbuka Perancis

PARIS: Rentak cemerlang Pearly Tan-M. Thinaah masih belum menunjukkan tanda mahu berhenti apabila beregu wanita utama negara itu mengesahkan tempat ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026.

Pilihan kedua kejohanan itu menyingkirkan pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, secara straight set 21-12, 21-15 dalam tempoh hanya 39 minit pada aksi suku akhir di Arena Grand Paris.

Kemenangan tersebut menjadi yang kelapan berturut-turut buat Pearly-Thinaah sejak memulakan perjalanan kejuaraan mereka di Terbuka Denmark minggu lalu.

Sebelum turun berdepan Stoeva bersaudara, pasangan ranking keempat dunia itu sudah mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dengan enam daripadanya diperoleh secara straight set.

Kini angka itu meningkat kepada lapan kemenangan, dengan tujuh aksi berjaya diselesaikan tanpa perlu melalui rubber set.

Pearly-Thinaah tidak memberikan banyak ruang kepada lawan sejak set pembukaan.

Mereka mengawal permainan dengan lebih kemas untuk membuka jurang sebelum menamatkan set pertama 21-12.

Stoeva bersaudara cuba meningkatkan tekanan pada permainan kedua tetapi pasangan Malaysia terus mengekalkan kawalan.

Pearly-Thinaah sekali lagi tidak membenarkan permainan dibawa ke set penentuan apabila menutup perlawanan 21-15.

Keputusan itu turut memperkukuh penguasaan mereka ke atas pasangan Bulgaria.

Sebelum perlawanan, Pearly-Thinaah sudah memenangi empat daripada lima pertemuan terdahulu dan tiga kemenangan terakhir semuanya hadir secara straight set.

Kejayaan terbaru menjadikan rekod pertemuan mereka kini 5-1, selain empat kemenangan terakhir berturut-turut ke atas Stoeva bersaudara tanpa kehilangan set.

Prestasi itu lebih mengagumkan apabila Pearly-Thinaah sebelum ini mengakui keadaan fizikal mereka belum benar-benar pulih selepas melalui jadual padat sejak kejohanan di Denmark.

Mereka terpaksa bekerja keras pada pusingan 16 terbaik ketika menewaskan rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, 21-14, 22-20.

Namun, aksi suku akhir memperlihatkan mereka kembali lebih dominan.

Pearly-Thinaah kini hanya dua kemenangan daripada satu lagi gelaran Super 750 selepas muncul juara Terbuka Denmark minggu lalu.

Lebih penting, mereka terus menunjukkan konsistensi yang sukar dipatahkan sepanjang dua kejohanan berturut-turut.

Lapan perlawanan sudah dilalui sejak Denmark.

Lapan kemenangan berjaya dicatat.

Dan selepas satu lagi kemenangan straight set di Paris, Pearly-Thinaah kini berada hanya selangkah daripada final Terbuka Perancis.