PARIS: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, meneruskan rentak luar biasa di pentas Jelajah Dunia apabila mencipta satu lagi sensasi untuk mara ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026 di Arena Grand Paris.
Pasangan negara itu terpaksa mengharungi pertarungan sengit selama 57 minit sebelum menyingkirkan wakil Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen, menerusi kemenangan rubber set 21-17, 20-22, 21-18.
Pang Ron-Pei Jing memulakan aksi dengan cukup meyakinkan apabila mengambil set pertama 21-17.
Namun, Seidel-Nguyen yang sepanjang kejohanan ini sudah membuktikan kemampuan mereka mencipta kejutan enggan memberikan laluan mudah.
Pasangan Jerman itu memberikan tentangan lebih agresif pada set kedua dan berjaya mengheret permainan sehingga mata tambahan.
Pang Ron-Pei Jing hampir menamatkan perlawanan dalam straight set tetapi gagal menyelesaikan peluang pada penghujung permainan sebelum Seidel-Nguyen mencuri kemenangan 22-20.
Kedudukan satu set sama menyebabkan pertarungan terpaksa ditentukan menerusi rubber set.
Dalam keadaan tekanan semakin meningkat, Pang Ron-Pei Jing kembali menunjukkan ketenangan untuk mengekalkan kelebihan pada penghujung permainan sebelum menamatkan cabaran pasangan Jerman 21-18.
Kemenangan tersebut cukup bermakna kerana Seidel-Nguyen hadir ke suku akhir selepas mencipta dua kejutan besar.
Pada pusingan pertama, mereka menyingkirkan pasangan utama negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, sebelum mengejutkan pilihan kedua kejohanan dan pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-17, 14-21, 22-20 pada pusingan berikutnya.
Namun, perjalanan sensasi pasangan Jerman itu akhirnya dihentikan wakil Malaysia.
Lebih menarik, kemaraan Pang Ron-Pei Jing ke separuh akhir di Paris meneruskan peningkatan mendadak mereka dalam beberapa kejohanan Super 750 terakhir.
Mereka sebelum ini mara sehingga final China Masters sebelum tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Minggu lalu pula, Pang Ron-Pei Jing mara ke separuh akhir Terbuka Denmark.
Kini, Terbuka Perancis menjadi satu lagi kejohanan besar yang menyaksikan mereka berada dalam kelompok empat terbaik.
Perjalanan ke tahap itu juga bukan mudah.
Mereka terlebih dahulu bangkit menewaskan Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dari China 14-21, 21-15, 21-15 sebelum mengatasi Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui dari Taiwan 21-13, 13-21, 21-17 pada pusingan 16 terbaik.
Tiga perlawanan di Paris, tiga kemenangan dan semuanya diperoleh menerusi rubber set.
Corak itu memperlihatkan ketahanan mental Pang Ron-Pei Jing yang terus meningkat setiap kali berdepan situasi getir.
Selepas final China Masters dan separuh akhir Denmark, satu lagi tempat separuh akhir kini menjadi milik mereka di Perancis.
Pang Ron-Pei Jing sekali lagi membuktikan bahawa mereka bukan lagi pasangan yang boleh dipandang ringan dalam kategori beregu campuran dunia.