KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal melakukan penstrukturan semula membabitkan barisan pemain dan jurulatih pada Disember ini, merangkumi skuad senior serta remaja.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, proses itu akan dilakukan secara menyeluruh bagi menentukan pemain yang masih relevan untuk dikekalkan, mereka yang perlu digugurkan serta bakat baharu yang boleh diserap masuk ke dalam program pembangunan badan induk berkenaan.
Menurutnya, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky akan memainkan peranan utama dalam menyediakan penilaian terhadap setiap pemain.
Senarai berkenaan kemudiannya akan dibawa kepada Jawatankuasa Prestasi untuk dibincangkan sebelum keputusan akhir dibuat.
“Kita tidak boleh asyik menyimpan pemain tanpa melakukan pengguguran. Kita perlu menyusun semula senarai pemain dan melakukan sedikit penstrukturan.
“Jurulatih akan membuat penilaian semula dan menghantar senarai kepada saya untuk dibincangkan bersama Jawatankuasa Prestasi,” katanya ketika dihubungi.
Rombakan itu dijangka menjadi antara penilaian terbesar BAM menjelang musim baharu, khususnya selepas prestasi beberapa pemain negara gagal mencapai tahap diharapkan sepanjang tahun ini.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada kategori perseorangan lelaki.
Dua nama utama, Jun Hao dan Justin Hoh, masih belum menunjukkan tahap konsistensi yang diperlukan untuk bersaing dengan kelompok terbaik dunia.
Jun Hao yang berada di ranking ke-31 dunia melalui musim sukar apabila gagal melepasi pusingan awal dalam kesemua 12 kejohanan Jelajah Dunia yang disertainya.
Sepanjang tempoh itu, dia tersingkir sama ada di pusingan pertama atau kedua.
Jun Hao turut gagal melangkah jauh dalam beberapa kejohanan utama termasuk Kejohanan Badminton Asia, Kejohanan Dunia serta acara perseorangan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Justin pula yang menghuni ranking ke-46 dunia berdepan situasi hampir sama, walaupun berjaya mencatat keputusan lebih baik dengan dua kemaraan ke suku akhir.
Pencapaian terbaiknya hadir di Terbuka Australia dan Terbuka Taiwan.
Dalam masa sama, BAM turut mahu membuka ruang lebih luas kepada generasi baharu.
Chong Wei berkata pemain muda berusia 12 dan 15 tahun yang dikenal pasti mempunyai potensi boleh diserap masuk ke dalam program badan induk.
Namun, jumlah pemain yang dipilih akan bergantung kepada tahap bakat serta keperluan semasa skuad.
Jumlah pemain baharu itu juga akan menentukan sama ada BAM perlu menambah tenaga kejurulatihan.
“Kita perlu melihat berapa ramai pemain yang dipilih terlebih dahulu. Jika ramai pemain berbakat dikenal pasti, kita akan mengambil lebih ramai, tetapi kita juga perlu memastikan jumlah jurulatih mencukupi.
“Tidak mungkin seorang jurulatih menjaga terlalu ramai pemain. Kita perlu merancang struktur yang sesuai, termasuk keperluan jurulatih dan penolong jurulatih,” katanya.
Disember kini menjadi bulan penting buat BAM.
Bukan sahaja masa depan beberapa pemain akan ditentukan, malah struktur kejurulatihan serta hala tuju pembangunan bakat negara turut berpotensi mengalami perubahan besar menjelang musim baharu.