SUKAN

Kemelut Zii Jia Bersama Keluarga Akhirnya Selesai, Ini Yang Dipersetujui

KUALA LUMPUR: Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia yang mempunyai pegangan 90 peratus dalam LZJ Management mencapai penyelesaian secara persetujuan bersama anggota keluarganya berhubung pertikaian berkaitan pengurusan syarikat itu.

Mahkamah Tinggi merekodkan penghakiman persetujuan pada Selasa selepas semua pihak mencapai kata sepakat dalam saman pemula yang difailkan Zii Jia pada 2 Julai.

Hakim Leong Wai Hong merekodkan penyelesaian berkenaan selepas peguam pihak-pihak membacakan draf terma persetujuan di hadapan mahkamah.

Dalam kes tersebut, LZJ Management dinamakan sebagai responden pertama, diikuti bapa Zii Jia, Lee Chee Hin, kakaknya Lee Zii Yii dan adik lelakinya Lee Tao.

Zii Jia sendiri hadir ke mahkamah bersama Chee Hin dan Tao.

Hakim kemudian meminta ketiga-tiga mereka tampil ke hadapan bagi mengesahkan bahawa mereka memahami serta bersetuju dengan terma penyelesaian.

Zii Jia, Chee Hin dan Tao masing-masing mengesahkan persetujuan mereka.

Zii Yii tidak berada di mahkamah kerana berada di luar negara, namun peguam Andrian Ng Chen Yip mengesahkan anak guamnya turut bersetuju.

Berdasarkan terma yang direkodkan, satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LZJ Management akan diadakan pada 31 Oktober ini.

Mesyuarat itu akan berlangsung selaras dengan notis EGM bertarikh 16 Oktober dengan kos ditanggung syarikat.

Sementara menunggu EGM berkenaan selesai, terdapat beberapa batasan sementara terhadap keputusan kewangan dan korporat tertentu.

Chee Hin dan Zii Yii dihalang daripada meluluskan atau membuat pembayaran fi pengarah, elaun, bonus, ganjaran atau manfaat kewangan tertentu kepada diri mereka daripada LZJ Management.

Gaji bulanan yang dikira bermula 1 September bagaimanapun dikecualikan daripada terma berkenaan.

Kedua-duanya juga tidak boleh meluluskan, menandatangani atau mengesahkan resolusi berkaitan pelantikan atau penyingkiran pengarah dan setiausaha syarikat tanpa kebenaran mahkamah.

Perkara sama melibatkan pelupusan aset material, penerbitan saham baharu, perubahan struktur pemegangan saham serta keputusan yang memberi kesan kepada pengurusan, pentadbiran atau kawalan syarikat.

Tiada perintah terhadap kos dibuat dalam penyelesaian berkenaan.

Dari sudut struktur pemilikan, Zii Jia merupakan pemegang saham majoriti dengan pegangan 90 peratus.

Kakaknya, Zii Yii memiliki sembilan peratus, manakala Tao mempunyai satu peratus.

Dalam saman pemula yang difailkan sebelum ini, Zii Jia menyatakan langkah telah diambil untuk mengadakan EGM bagi membincangkan hal ehwal pengurusan dan tadbir urus LZJ Management.

Beliau kemudiannya memohon supaya mesyuarat berkenaan dapat dilaksanakan melalui perintah mahkamah, termasuk diteruskan walaupun terdapat ahli syarikat, pengarah atau setiausaha syarikat yang tidak hadir atau enggan hadir.

Zii Jia merupakan antara pemain badminton paling berjaya negara dan pernah berada di kedudukan kedua ranking dunia BWF pada 25 Oktober 2022.

Dia juga meraih pingat gangsa perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, prosiding kali ini berkaitan urusan korporat LZJ Management dan berakhir tanpa perbicaraan penuh selepas semua pihak mencapai persetujuan.

Dengan penghakiman persetujuan sudah direkodkan, perhatian seterusnya beralih kepada EGM pada 31 Oktober yang akan menjadi platform untuk menguruskan perkara-perkara berkaitan tadbir urus syarikat sebagaimana dipersetujui semua pihak.