Penantian selama 13 tahun akhirnya berakhir apabila skuad hoki remaja lelaki negara mengesahkan kemaraan ke final Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 selepas menundukkan Pakistan 3-2 dalam aksi penuh debaran di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, malam tadi.
Kali terakhir Malaysia melangkah ke pentas akhir kejohanan bawah 21 tahun berprestij itu adalah pada edisi 2013.
Kemenangan ke atas Pakistan bukan sahaja membawa Young Tigers kembali ke final selepas lebih sedekad, malah membolehkan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin memintas lawan untuk berada di tangga teratas kedudukan semasa.
Malaysia bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Penjaga gol negara, Adib Amsyar, terlebih dahulu memainkan peranan penting apabila menyelamatkan pukulan sudut penalti seawal minit kelima.
Dia sekali lagi menjadi penghalang apabila Pakistan memperoleh penalti strok pada minit ke-12, sekali gus memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan.
Young Tigers kemudian membuka tirai jaringan pada minit ke-21.
Gerakan bermula daripada tolakan Adam Asyraf Johari sebelum bola dikawal Naaveennash Panicker yang memperdaya penjaga gol Pakistan, Ahsan Mahmood, sebelum melakukan pukulan kilas ke penjuru kanan gawang.
Malaysia membawa kelebihan 1-0 sebelum Pakistan meningkatkan tekanan selepas rehat.
Pada minit ke-31, wakil Asia Selatan itu hampir menyamakan kedudukan apabila percubaan Muhammad Farooq terkena tiang ketika Adib sudah tertewas.
Tekanan Pakistan akhirnya membuahkan hasil lima minit kemudian apabila Adeel menyudahkan gerakan hasil tolakan Muhammad Yahya Najeeb untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Adeel sekali lagi menghukum Malaysia pada minit ke-43 selepas kesilapan pertahanan membuka ruang buatnya menghasilkan gol kedua Pakistan.
Young Tigers kemudian mendapat kelebihan apabila Pakistan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Waleed dilayangkan kad merah pada minit ke-51 kerana mengasari pemain negara.
Malaysia memanfaatkan situasi itu dengan sebaiknya.
Safwan Salihe menyamakan kedudukan 2-2 menerusi gol padang pada minit ke-55.
Ketika perlawanan kelihatan menuju keputusan seri, Naaveennash sekali lagi muncul wira.
Dengan hanya tiga minit berbaki, dia meledak gol kemenangan untuk memastikan Malaysia menang 3-2 dan mengesahkan tempat di pentas akhir.
Young Tigers kini akan menutup kempen peringkat awal menentang Kanada pada Jumaat.
Malaysia perlu menang untuk memastikan mereka kekal di tangga teratas sebelum memasuki final.
Dalam satu lagi perlawanan, Jepun kembali mencatat kemenangan selepas menundukkan China 4-1.
Namun malam di Taman Daya menjadi milik Malaysia.
Selepas 13 tahun menunggu, Young Tigers akhirnya kembali ke pentas final Piala Sultan Johor.