Belum sempat menikmati sepenuhnya kejayaan menjuarai Terbuka Denmark 2026, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dikejutkan dengan penyingkiran seawal pusingan 32 Terbuka Perancis selepas tewas kepada Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dari Taiwan.
Pasangan ranking kedua dunia itu kalah straight set 24-26, 13-21 kepada lawan yang berada di ranking ke-15 dunia dalam aksi di Arena Grand Paris, hari ini.
Keputusan tersebut cukup mengejutkan berdasarkan momentum yang dibawa Fajar-Fikri ke Paris.
Hanya beberapa hari lalu, mereka tampil dominan untuk menjuarai Terbuka Denmark selepas membelasah beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 21-8, 21-11 dalam final yang hanya berlangsung selama 31 minit.
Fajar-Fikri juga datang ke Terbuka Perancis dengan lima kemenangan berturut-turut sepanjang kempen di Denmark dan diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan.
Namun, segala kelebihan di atas kertas tidak mampu diterjemahkan kepada kemenangan.
Set pertama berlangsung sengit apabila Fajar-Fikri pada awalnya ketinggalan 8-11 ketika interval sebelum memperbaiki permainan untuk menyamakan kedudukan 15-15.
Chiu-Wang kembali mengambil alih dan berada di ambang kemenangan apabila mendahului 20-17.
Fajar-Fikri enggan menyerah dan berjaya menyelamatkan beberapa mata permainan untuk memaksa aksi memasuki deuce.
Malah, pasangan Indonesia itu turut memperoleh dua peluang untuk menutup set pertama, namun gagal memanfaatkannya.
Chiu-Wang akhirnya lebih tenang pada detik penting untuk mengambil set pembukaan 26-24.
Kegagalan memenangi set pertama ternyata memberi kesan kepada Fajar-Fikri.
Set kedua menyaksikan pasangan Taiwan tampil semakin yakin dan berjaya membuka kelebihan 13-6 selepas menghasilkan empat mata berturut-turut.
Fajar-Fikri cuba mengejar, namun jurang semakin melebar apabila Chiu-Wang mendahului 19-12 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-13.
Kekalahan itu jauh berbeza berbanding pencapaian Fajar-Fikri di Terbuka Perancis tahun lalu apabila mereka berjaya mara sehingga final sebelum muncul naib juara.
Malah, ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasangan dan Chiu-Wang terus menghasilkan kejutan dengan menewaskan pasangan nombor dua dunia.
Fajar-Fikri kini terpaksa menerima hakikat bahawa momentum kemenangan dari Odense tidak dapat diteruskan di Paris.
Daripada menjuarai Super 750 Denmark dengan prestasi dominan kepada tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan Super 750 berikutnya, keputusan di Perancis menjadi peringatan bahawa persaingan kategori beregu lelaki dunia kekal terbuka dan sukar diramal.