SUKAN

Terbuka Perancis : Pearly-Thinaah mula langkah kanan

Empat tahun selepas mencipta sejarah sebagai beregu wanita Malaysia pertama menjuarai Terbuka Perancis, Pearly Tan-M. Thinaah kembali ke kejohanan itu dengan permulaan meyakinkan apabila melepasi pusingan pertama tanpa kehilangan set.

Pasangan ranking keempat dunia itu menundukkan Bengisu Ercetin-Nazlican Inci dari Turkiye 21-11, 21-15 dalam tempoh 37 minit di Arena Grand Paris, semalam.

Kemenangan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas Pearly-Thinaah menjulang trofi Terbuka Denmark, sekali gus menunjukkan momentum positif mereka masih belum terhenti.

Turun sebagai pilihan kedua, pasangan negara menguasai sebahagian besar perlawanan dan tidak membenarkan lawan memberikan tekanan berpanjangan.

Set pertama berakhir 21-11 sebelum Pearly-Thinaah menyelesaikan tugas 21-15 pada set berikutnya.

Walaupun keputusan kelihatan selesa, Thinaah tidak mahu terlalu cepat berpuas hati.

“Kami bermain dengan baik, tetapi masih ada perkara yang perlu kami beri perhatian ketika berada di gelanggang.

“Buat masa ini, kami hanya mahu mendapatkan rehat dan pemulihan yang baik sebelum perlawanan esok,” katanya selepas perlawanan.

Pearly pula menyentuh mengenai keadaan shuttle yang sedikit perlahan di venue baharu, namun mengakui ia merupakan cabaran sama yang perlu dihadapi semua pemain.

Terbuka Perancis membawa kenangan cukup istimewa buat pasangan negara.

Pada 2022, Pearly-Thinaah muncul juara dan menjadi beregu wanita Malaysia pertama memenangi kejohanan berkenaan.

Kejayaan itu menjadi antara pencapaian yang melonjakkan nama mereka ke kelompok utama dunia dan mengukuhkan keyakinan mereka untuk bersaing di kejohanan besar.

Kini, empat tahun kemudian, mereka kembali memburu satu lagi gelaran dalam keadaan prestasi sedang meningkat.

Kejayaan menjuarai Terbuka Denmark pada Ahad lalu turut membantu mereka kembali menghuni kelompok empat terbaik ranking dunia.

Namun, laluan menuju gelaran kedua Terbuka Perancis bakal menemukan mereka dengan rakan senegara sendiri.

Pearly-Thinaah akan bertemu Ong Xin Yee-Carmen Ting dalam pusingan 16 terbaik selepas pasangan muda negara itu menyingkirkan Margot Lambert-Camille Pognante dari Perancis 21-11, 21-12.

Xin Yee-Carmen turut mengambil masa 37 minit untuk mengesahkan kemenangan.

Kejayaan itu juga menjadi pembalasan kepada pasangan Perancis berkenaan yang pernah menyingkirkan mereka dalam edisi 2025.

Pertembungan sesama Malaysia itu sekurang-kurangnya menjamin negara satu tempat ke suku akhir.

Bagi Pearly-Thinaah, ia menjadi satu lagi halangan dalam usaha menghidupkan kembali kenangan manis 2022.

Daripada juara Denmark kepada pemburuan gelaran kedua di Paris, pasangan utama negara kini mempunyai peluang untuk meneruskan rentetan kejayaan mereka dalam dua kejohanan Super 750 berturut-turut.