SUKAN

TERKINI : Hoo Pang Ron cipta Rekod peribadi baharu

PARIS: Tiga perlawanan, tiga rubber set dan tiga kemenangan.

Itulah perjalanan Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing di Terbuka Perancis 2026 setakat ini selepas pasangan profesional negara itu sekali lagi melalui pertarungan sengit untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Pada suku akhir, Pang Ron-Pei Jing menewaskan Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen dari Jerman 21-17, 20-22, 21-18 di Arena Grand Paris.

Perlawanan tersebut sekali lagi menguji ketahanan mental dan fizikal mereka selepas dua pusingan terdahulu juga memerlukan tiga set.

Pada pusingan pertama, Pang Ron-Pei Jing kehilangan set pembukaan kepada Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dari China sebelum bangkit untuk menang 14-21, 21-15, 21-15.

Mereka kemudian menewaskan Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui dari Taiwan 21-13, 13-21, 21-17 pada pusingan 16 terbaik.

Skrip hampir sama berlaku ketika bertemu Seidel-Nguyen.

Pang Ron-Pei Jing terlebih dahulu menang 21-17 sebelum pasangan Jerman membalas menerusi kemenangan tipis 22-20.

Set penentuan sekali lagi menjadi ujian besar.

Namun, pasangan negara berjaya mengekalkan ketenangan untuk menutup rubber set 21-18 dan memastikan kemaraan.

Pei Jing berkata fokus utama mereka sepanjang perlawanan adalah memastikan setiap pukulan dilakukan mengikut strategi.

“Ia benar-benar mata demi mata sepanjang perlawanan. Kami cuba fokus pada setiap pukulan, apa yang perlu dilakukan dan strategi kami,” katanya.

Satu lagi perkara yang membantu Pang Ron ialah kepercayaan yang diberikan Pei Jing di gelanggang.

Pang Ron mengakui pasangannya memberikan kebebasan kepadanya untuk bermain mengikut naluri tanpa takut melakukan kesilapan.

“Dia beri saya lebih keyakinan dan suruh saya lakukan apa sahaja yang saya mahu lakukan, dan dia akan ikut saya.

“Walaupun saya melakukan beberapa pukulan yang salah, dia kata tidak mengapa dan kami masih boleh lakukannya,” katanya.

Sokongan itu membawa kepada pencapaian peribadi baharu buat Pang Ron.

Kemaraan ke separuh akhir di Paris merupakan kali kedua berturut-turut mereka berada dalam kelompok empat terbaik selepas melakukan perkara sama di Terbuka Denmark minggu lalu.

“Saya sangat gembira. Ini kali pertama kami mara ke separuh akhir secara berturut-turut. Saya tidak pernah lakukan ini sepanjang karier saya sebelum ini, jadi terima kasih kepada pasangan saya.

“Tetapi kami perlu terus fokus kepada perlawanan seterusnya,” katanya.

Pang Ron-Pei Jing kini akan bertemu pasangan pilihan keenam China, Guo Xin Wa-Cheng Fang Hui, untuk merebut tiket ke final.

Selepas mengharungi tiga rubber set berturut-turut, cabaran fizikal pastinya semakin besar.

Namun, satu perkara sudah mereka buktikan sepanjang kempen di Paris.

Walaupun permainan masuk ke set penentuan, Pang Ron-Pei Jing masih mempunyai ketenangan dan kepercayaan antara satu sama lain untuk mencari jalan keluar.

Kini, satu lagi kemenangan sahaja diperlukan untuk membawa mereka ke pentas final.