SUKAN

Pang Ron-Pei Jing Buat gandingan China lesu

PARIS: Perjalanan Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing sebagai pasangan profesional bebas mula memberikan pulangan besar apabila mereka mara ke final Terbuka Perancis 2026 selepas menyingkirkan wakil China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.

Pasangan ranking ke-31 dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-9 dalam tempoh 31 minit untuk mengesahkan penampilan final kedua mereka musim ini.

Namun, di sebalik kemaraan di Arena Grand Paris, terdapat satu lagi perjuangan yang perlu dihadapi pasangan negara — memastikan mereka mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk terus menyertai kejohanan antarabangsa.

Pei Jing mengakui mereka perlu bekerja keras mendapatkan penaja bagi menampung perbelanjaan sepanjang karier sebagai pemain profesional.

“Segala usaha ini terasa berbaloi sekarang. Kami bekerja keras mencari penaja untuk menampung perbelanjaan, jadi kami benar-benar berterima kasih kepada semua penaja.

“Sekarang kami mahu memenangi lebih banyak perlawanan, demi diri sendiri dan juga penaja kami,” katanya.

Kejayaan mara ke final di Paris sudah pasti menjadi satu suntikan besar kepada usaha tersebut.

Prestasi mereka sepanjang kempen Eropah juga menunjukkan peningkatan jelas.

Pang Ron sebelum ini mencipta pencapaian peribadi dengan mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan berturut-turut.

Kini mereka melangkah lebih jauh.

“Sudah tentu saya sangat gembira. Seperti yang saya katakan semalam, ini kali pertama saya berjaya mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan berturut-turut, dan kini ke final pula.

“Saya berharap kami dapat melakukan lebih baik esok,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pang Ron-Pei Jing juga tidak mendapat tiket final dengan mudah.

Namun ketika berdepan Guo-Chen pada separuh akhir, pasangan negara tampil dengan permainan paling dominan sepanjang kejohanan.

Mereka mengambil set pertama 21-13 sebelum menghancurkan cabaran pasangan pilihan keenam itu 21-9 pada set kedua.

Pang Ron berkata mereka berjaya menggunakan kelebihan kecergasan untuk terus memberikan tekanan.

“Saya rasa tahap kecergasan kami sedikit lebih baik berbanding mereka hari ini. Kami mengambil kesempatan itu untuk terus menekan dan memberi lebih banyak tekanan kepada mereka.

“Mungkin mereka hilang keyakinan menjelang penghujung perlawanan,” katanya.

Pei Jing pula menegaskan mereka hanya mahu memberikan perhatian kepada permainan sendiri.

“Kami cuba memberi tumpuan kepada permainan sendiri terlebih dahulu, mencari rentak, mengekalkan momentum dan mengurangkan kesilapan mudah. Semuanya berjalan lancar hari ini,” katanya.

Pendekatan itu berjaya membawa mereka hanya satu kemenangan daripada gelaran.

Pang Ron-Pei Jing kini menunggu pemenang antara pilihan utama China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, dan pasangan tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Final itu bukan sahaja menawarkan peluang menjulang satu lagi gelaran besar.

Bagi pasangan profesional tersebut, setiap kemenangan juga membawa nilai tambahan dalam usaha memastikan perjalanan karier mereka boleh diteruskan secara mampan.

Daripada mencari sendiri penaja untuk menampung perbelanjaan kepada berdiri di pentas final Super 750, perjalanan Pang Ron-Pei Jing di Paris memberikan gambaran jelas bahawa segala pengorbanan mereka mula menghasilkan sesuatu.

Kini mereka hanya perlu satu lagi kemenangan untuk menjadikan usaha itu lebih berbaloi.