Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengakui pendekatan tanpa meletakkan tekanan untuk meraih kemenangan menjadi antara faktor utama kejayaan mereka menjulang kejuaraan Terbuka Perancis 2026, semalam.
Wei Chong berkata, mereka turun sebagai pasangan bukan pilihan dan hanya memberikan tumpuan untuk mempamerkan permainan terbaik serta berusaha mendapatkan setiap mata tanpa terlalu memikirkan keputusan akhir.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan mereka beraksi dengan lebih tenang ketika berdepan rakan senegara yang lebih tinggi rankingnya, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam perlawanan akhir di Arena Grand Paris.
“Kami tidak terlalu memikirkan soal menang atau kalah kerana kami sedar kami bukan pilihan. Kami hanya mahu bermain sebaik mungkin dan cuba mendapatkan setiap mata,” katanya dalam temu bual yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-11 dunia menghasilkan kebangkitan meyakinkan untuk menewaskan Sze Fei-Izzuddin 13-21, 21-15, 21-7 dalam tempoh 44 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan mereka merangkul gelaran pertama musim ini, sekali gus menamatkan penantian hampir 17 bulan sejak kali terakhir menjuarai Masters Malaysia pada Mei tahun lalu.
Lebih bermakna, kejayaan itu merupakan gelaran pertama pasangan negara dalam kejohanan berstatus Super 750 selepas sebelum ini meraih lima kejuaraan Jelajah Dunia BWF pada peringkat lebih rendah.
Mengulas lanjut, Kai Wun menjelaskan bahawa masalah konsistensi yang dihadapi mereka sebelum ini menyebabkan kedua-duanya memilih untuk memberikan tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa.
“Konsistensi kami masih belum begitu baik. Kami hanya memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan dan saya memberitahu pasangan saya supaya memberikan yang terbaik sehingga tamat. Itulah yang kami lakukan hari ini,” katanya.
Pendekatan tersebut membolehkan Wei Chong-Kai Wun mengekalkan ketenangan meskipun kehilangan set pembukaan kepada Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking kelima dunia.
Pada set kedua, mereka berjaya mengurangkan kesilapan sendiri dan meningkatkan tekanan terhadap lawan sebelum mencatat kemenangan 21-15.
Momentum itu diteruskan pada set penentuan apabila Wei Chong-Kai Wun tampil lebih dominan sehingga membenarkan Sze Fei-Izzuddin memperoleh hanya tujuh mata.
Wei Chong turut mengakui kecederaan lutut yang sebelum ini menjejaskan persiapannya kini hampir pulih, sekali gus membolehkannya kembali memberikan persembahan lebih baik.
Beliau berkata, pengalaman bergandingan dengan Kai Wun selama lebih lima tahun sebelum ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk membina semula keserasian selepas kembali disatukan.
“Kami sudah bergandingan selama lebih lima tahun. Sekarang kami kembali bersama dan saya fikir kami boleh mengekalkan rentak ini,” katanya.
Kejayaan di Perancis turut membolehkan Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM287,196.
Selain menamatkan kemarau kejuaraan mereka sendiri, pasangan itu turut mengakhiri penantian selama 22 tahun Malaysia untuk kembali menjuarai kategori beregu lelaki Terbuka Perancis selepas kejayaan Gan Teik Chai-Koo Kien Keat pada 2004.
Wei Chong berharap kejayaan berkenaan menjadi titik permulaan untuk mereka mengekalkan momentum dan memperbaiki prestasi dalam baki kejohanan musim ini.