Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil keputusan membatalkan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan yang sepatutnya berlangsung pada 13 November ini di Stadium Antarabangsa Amman.
Keputusan itu dibuat kira-kira seminggu sebelum sepak mula perlawanan berkenaan susulan keadaan keselamatan di Timur Tengah yang semakin membimbangkan, sekali gus memaksa badan induk bola sepak Indonesia mengubah perancangan skuad kebangsaan.
Presiden PSSI, Erick Thohir menjelaskan bahawa keselamatan pemain menjadi pertimbangan paling utama dalam menentukan sama ada pasukan negara itu wajar meneruskan perjalanan ke Jordan.
Menurutnya, situasi semasa di rantau berkenaan tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila melibatkan keselamatan pemain dan anggota pasukan yang perlu melakukan perjalanan antarabangsa.
“Kita tahu situasi di Timur Tengah tidak mudah. Kita memprioritaskan bagaimana keselamatan para pemain terlebih dahulu,” katanya kepada media di Jakarta, semalam.
Pembatalan tersebut turut disahkan Persekutuan Bola Sepak Jordan (JFA) menerusi kenyataan rasmi pada Khamis yang memaklumkan bahawa PSSI telah mengemukakan permintaan untuk tidak meneruskan perlawanan berkenaan.
JFA turut menjelaskan bahawa pihak Indonesia telah menyampaikan permohonan maaf kerana tidak dapat memenuhi jadual perlawanan yang dipersetujui sebelum ini.
Bagaimanapun, perkembangan tersebut bukan sahaja berkaitan isu keselamatan, malah turut dipengaruhi perubahan besar dalam kalendar pertandingan bola sepak Asia.
Erick menjelaskan bahawa keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menunda Piala Asia 2027 menyebabkan perancangan skuad kebangsaan bagi jendela antarabangsa November perlu dinilai semula.
“Apalagi AFC kan memundurkan kejuaraan Asianya. Jadi memang di November ini cukup limbung karena memang bukan menjadi lagi untuk uji coba untuk AFC,” katanya.
Terdahulu, AFC mengumumkan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi dari 7 Januari hingga 5 Februari tahun depan akan dipindahkan kepada 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028.
Perubahan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi luar biasa di rantau berkenaan, termasuk cabaran logistik dan gangguan perjalanan.
Susulan pembatalan perlawanan menentang Jordan, PSSI kini perlu menentukan langkah seterusnya bagi memastikan program persiapan skuad kebangsaan tidak terjejas.
Erick berkata, perbincangan lanjut akan dilakukan oleh Badan Tim Nasional bersama ketua jurulatih Indonesia, John Herdman bagi meneliti pilihan alternatif yang tersedia.
“Nanti biar Badan Tim Nasional dan Coach John berdiskusi seperti apa rencana plan B-nya,” katanya.
Setakat ini, PSSI masih belum mengumumkan pasukan pengganti atau mengesahkan sama ada Indonesia akan mengadakan perlawanan persahabatan lain sepanjang jendela antarabangsa November.
Sementara itu, Jordan masih dijadualkan menghadapi Australia pada 17 November di Stadium Antarabangsa Amman seperti yang dirancang.
Perkembangan tersebut menyaksikan persiapan Indonesia memasuki fasa baharu apabila barisan kejurulatihan perlu menyusun semula program pasukan selepas perubahan jadual pertandingan antarabangsa.
Walaupun kehilangan satu peluang menguji kemampuan pemain, PSSI menegaskan bahawa aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dalam membuat sebarang keputusan melibatkan skuad kebangsaan.