Gandingan baharu Jepun, Ririna Hiramoto-Chiharu Shida, mencipta kejutan besar pada Kumamoto Masters Jepun 2026 apabila menyingkirkan pasangan pilihan kedua dari Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah, pada aksi pusingan pertama hari ini.
Pasangan tuan rumah itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 18-21, 21-13, 21-14 dalam tempoh satu jam empat minit.
Keputusan tersebut menjadi antara kejutan utama dalam kategori beregu wanita memandangkan Pearly-Thinaah merupakan pasangan ranking keempat dunia dan juara bertahan kejohanan berstatus Super 500 berkenaan.
Sebaliknya, Hiramoto-Shida baru memulakan kerjasama mereka di pentas antarabangsa pada penghujung Oktober lalu.
Berdasarkan ranking yang direkodkan pada 3 November, gandingan Jepun itu masih berada di kedudukan ke-214 dunia dengan kutipan 6,050 mata.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut lebih mencerminkan tempoh singkat mereka sebagai pasangan berbanding pengalaman sebenar yang dimiliki kedua-dua pemain.
Shida sebelum ini merupakan antara pemain beregu wanita terkemuka Jepun ketika bergandingan bersama Nami Matsuyama.
Pasangan itu meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum kerjasama mereka berakhir dan Shida memulakan perjalanan bersama pasangan baharu.
Selepas turut berpisah dengan Arisa Igarashi pada Julai lalu, Shida kini membentuk gandingan bersama Hiramoto yang berusia 20 tahun.
Hiramoto bukan pemain tanpa pencapaian apabila pernah muncul juara beregu perempuan pada Kejohanan Remaja Dunia 2024