Petarung Muay Thai Lubnan, Ramadan Ondash menerima tamparan dalam usaha memburu kejuaraan dunia selepas tersingkir pada aksi suku akhir ONE Flyweight Muay Thai World Grand Prix 2026-2027, malam ini.
Ondash yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi ketika menentang jaguh negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, gagal melepasi cabaran Shimon Yoshinari dari Jepun dalam pertembungan di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Pertarungan yang menjadi aksi pembukaan ONE Friday Fights 178 itu menyaksikan Shimon diberikan kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri selepas tiga pusingan.
Keputusan berkenaan sekali gus menamatkan hasrat Ondash untuk melangkah ke separuh akhir dan berpeluang berdepan salah seorang daripada dua legenda Muay Thai Thailand, Rodtang Jitmuangnon atau Nong-O Hama.
Lebih menarik, kekalahan tersebut hadir hanya sehari selepas laporan mengenai kenyataan Ondash yang memperlekehkan sikap Johan susulan perseteruan kedua-dua petarung.
Dalam kenyataan sebelum perlawanan, Ondash menyifatkan Johan sebagai kebudak-budakan dan menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk terus melayan bekas lawannya itu.
Ondash turut mendakwa Johan mahu melihat dirinya mengalami kekalahan ketika berdepan Shimon, selain meminta petarung Malaysia tersebut memberikan tumpuan terhadap karier sendiri.
Perseteruan berkenaan bermula selepas kemenangan kontroversi Ondash ke atas Johan menerusi keputusan juri yang berbelah bahagi pada 31 Julai lalu.
Dalam pertembungan itu, pelindung gigi Ondash terkeluar sebanyak lima kali sehingga menyebabkan beberapa gangguan terhadap kelancaran pertarungan.
Insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi apabila Johan dilihat beberapa kali kehilangan momentum serangan selepas pengadil menghentikan aksi untuk membolehkan pelindung gigi Ondash dipasang semula.
Ondash turut menerima kad kuning daripada pengadil berhubung kejadian tersebut.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong sebelum ini turut menyatakan pandangan bahawa Johan sepatutnya diberikan peluang mengadakan pertarungan ulangan.
Bagaimanapun, Ondash kemudiannya menyatakan pendirian tidak berminat untuk bertemu semula Johan selepas menganggap keputusan terdahulu sudah membuktikan kemenangannya.
Kini, petarung Lubnan itu pula terpaksa menerima kekalahan di tangan Shimon yang turut memiliki rekod kemenangan ke atas Johan.
Shimon sebelum ini menewaskan jaguh Malaysia tersebut menerusi keputusan sebulat suara juri dalam ONE Samurai 1 pada April lalu.
Kemenangan terbaharu itu membolehkan Shimon meneruskan rekod tanpa kalah dalam ONE Championship, sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Petarung Jepun itu bakal berdepan Nong-O Hama yang terlebih dahulu menyingkirkan Rodtang dalam satu lagi aksi suku akhir.
Bagi Ondash, kekalahan tersebut menyaksikan perjalanannya dalam Grand Prix berakhir lebih awal walaupun hadir dengan dua kemenangan berturut-turut sebelum kejohanan bermula.