SUKAN

TERKINI: Ranking Aaron Tai-Roy King Melonjak Tinggi Selepas Cipta Sejarah Di Masters Jepun

Perjalanan luar biasa beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King terus mendapat perhatian apabila mereka kini berpotensi memasuki kelompok 40 terbaik dunia selepas baru kira-kira sebulan memulakan kerjasama.

Pasangan muda negara itu sebelum ini berada pada ranking ke-348 dunia ketika memulakan kempen Terbuka Artik pada Oktober lalu, namun peningkatan prestasi yang memberangsangkan menyaksikan kedudukan mereka melonjak dengan pantas.

Kejayaan menjuarai Masters Jepun 2026 di Kumamoto, semalam, dijangka memberikan satu lagi lonjakan besar apabila Aaron-Roy King memperoleh tambahan 9,200 mata ranking BWF.

Berdasarkan kedudukan terkini sebelum kejohanan tersebut, pasangan negara menghuni ranking ke-57 dunia dengan kutipan 27,991 mata.

Kemenangan di Kumamoto dijangka meningkatkan jumlah mata mereka kepada 37,191, sekali gus berpotensi meletakkan Aaron-Roy King di sekitar kedudukan ke-38 dunia.

Unjuran tersebut membayangkan kenaikan sehingga 19 anak tangga berbanding kedudukan sebelumnya, namun ranking sebenar hanya dapat disahkan selepas kemas kini rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sekiranya berjaya mencapai kedudukan tersebut, Aaron-Roy King bakal mencatat peningkatan sekitar 310 anak tangga berbanding ranking ke-348 yang dihuni ketika memulakan kerjasama pada Oktober lalu.

Pencapaian itu cukup menarik kerana pasangan negara baru sahaja menyertai lima kejohanan Jelajah Dunia BWF bersama, namun sudah berjaya meraih dua gelaran.

Kejuaraan pertama mereka hadir pada Terbuka Artik di Finland apabila menewaskan pasangan Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-19.

Kejayaan tersebut menjadi titik permulaan kepada peningkatan prestasi Aaron-Roy King sebelum mereka meneruskan kempen dalam beberapa kejohanan di Eropah.

Pada Masters Jepun, pasangan negara sekali lagi membuktikan kemampuan apabila berjaya menyingkirkan beberapa lawan lebih tinggi ranking dalam perjalanan menuju ke final.

Antara kemenangan penting ialah kejayaan mengatasi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berada pada ranking kelima dunia menerusi keputusan 21-14, 21-15 pada pusingan kedua.

Aaron-Roy King kemudian menundukkan Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan di suku akhir sebelum menewaskan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark pada separuh akhir.

Pada aksi penentuan kejuaraan, mereka mencipta satu lagi kejutan dengan menewaskan bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 16-21, 21-13, 21-15.

Kejayaan itu melengkapkan gelaran kedua mereka dan menambah kutipan mata penting dalam usaha membina kedudukan lebih kukuh di pentas antarabangsa.

Walaupun peningkatan ranking dijangka berlaku, Roy King sebelum ini menegaskan bahawa pasangan negara tidak mahu terlalu memikirkan soal menambah gelaran, sebaliknya memberikan tumpuan kepada peningkatan ranking dan prestasi dalam setiap kejohanan.

Aaron-Roy King seterusnya dijadual menyertai Terbuka Hong Kong 2026 yang bermula esok sebagai peluang untuk meneruskan peningkatan tersebut.

Sekiranya momentum mereka berjaya dikekalkan, pasangan muda negara itu mempunyai peluang untuk terus memperbaiki kedudukan dalam ranking beregu lelaki dunia sepanjang baki musim ini.