Perubahan pendekatan permainan di kawasan jaring menjadi antara faktor penting yang membantu beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King bangkit untuk merangkul kejuaraan Masters Jepun 2026, hari ini.
Aaron menjelaskan bahawa mereka terpaksa mencari pendekatan lebih berkesan selepas menerima tekanan daripada pasangan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam perlawanan akhir di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Menurutnya, tumpuan utama mereka sepanjang perlawanan bukanlah memikirkan soal gelaran juara, sebaliknya memastikan setiap peluang dapat dimanfaatkan bagi memberikan saingan terbaik.
“Kami tidak fikir pasal gelaran ini, kami cuma berikan yang terbaik sahaja.
“Pihak lawan banyak beri tekanan kepada kami dan kami cuba dengan permainan di jaring,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pendekatan itu membantu pasangan ranking ke-57 dunia berkenaan mencatat kebangkitan selepas tewas set pertama sebelum menundukkan bekas juara dunia 2021 tersebut menerusi keputusan 16-21, 21-13, 21-15.
Kejayaan tersebut cukup bermakna memandangkan Hoki-Kobayashi merupakan pasangan ranking ke-10 dunia yang pernah menghuni kedudukan nombor satu dunia.
Malah, pasangan Jepun itu turut mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan penyokong tuan rumah.
Pada set pertama, Aaron-Roy King sebenarnya memperoleh permulaan cemerlang apabila mendahului 10-3 sebelum lawan berjaya mengubah momentum permainan.
Hoki-Kobayashi bangkit untuk menyamakan kedudukan 11-11 sebelum meneruskan tekanan dan menamatkan set pembukaan dengan kemenangan 21-16.
Bagaimanapun, pasangan Malaysia berjaya memberikan tindak balas pada set kedua apabila mendahului 6-1 hasil permulaan lebih meyakinkan.
Mereka kemudian mengekalkan kelebihan untuk mencatat kemenangan 21-13, sekali gus memastikan penentuan kejuaraan dilakukan menerusi set ketiga.
Memasuki set penentuan, Aaron-Roy King sekali lagi memulakan permainan dengan baik apabila memperoleh kelebihan 10-5.
Pasangan muda negara itu akhirnya berjaya memastikan kemenangan 21-15 untuk melengkapkan kebangkitan selepas kehilangan set pertama.
Sementara itu, Roy King turut menekankan bahawa komunikasi antara kedua-dua pemain memainkan peranan besar dalam memastikan mereka dapat mengekalkan persembahan ketika berdepan tekanan lawan.
“Saya agak puas dengan persembahan di samping gandingan saya.
“Komunikasi menjadi faktor kemenangan kami,” katanya.
Kejayaan di Jepun turut menyaksikan Aaron-Roy King merangkul kejuaraan kedua sejak digandingkan pada Oktober lalu.
Mereka sebelum ini mencipta kejutan apabila muncul juara Terbuka Artik di Finland pada penampilan sulung sebagai pasangan.
Dalam tempoh kerjasama yang masih singkat, kedua-duanya sudah berjaya mara ke dua final dan memenangi kedua-dua perlawanan penentuan kejuaraan tersebut.
Kejayaan menewaskan Hoki-Kobayashi kali ini memperlihatkan kemampuan Aaron-Roy King menyesuaikan pendekatan permainan apabila berdepan lawan berpengalaman, khususnya ketika perlu bangkit daripada kekalahan set pertama.